KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung pelaksanaan hukuman bagi kesalahan membabitkan kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 14 Oktober ini.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes itu hari ini.
“Permohonan telah difailkan dan ditetapkan di hadapan saya. Permohonan difailkan dengan Sijil Perakuan Segera. Jadi saya akan tetapkan tarikh dalam masa dua minggu. Pihak-pihak boleh bertukar hujahan balas pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut sebelum pendengaran,” katanya.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah 10 tahun lagi bagi setiap pertuduhan itu.
Hukuman penjara itu juga diperintahkan berjalan sebaik sahaja tamat tempoh pemenjaraan bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhamad Farhan Shafee manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam. –UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL











