PETALING JAYA: Undang-undang syariah tidak menetapkan mekanisme potongan gaji bagi memastikan pembayaran nafkah hanya boleh dilaksanakan terhadap individu yang bekerja dalam sektor kerajaan.
Bekas Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, mekanisme penguatkuasaan perintah nafkah boleh dilaksanakan terhadap suami atau bapa yang bekerja di sektor swasta atau bekerja sendiri, tertakluk kepada perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, mahkamah syariah juga tidak sewenang-wenangnya perlu menyerah kalah kepada majikan yang enggan bekerjasama dalam melaksanakan perintah potongan gaji.
“Dalam undang-undang tidak kata hanya untuk yang bekerja kerajaan sahaja. Kalau begitu, kelihatan seperti ada double standard.
“Dalam kaedah penguatkuasaan perintah ini, boleh sahaja, tertakluk kepada perintah mahkamah, diperintahkan kepada bank yang mana gaji sepatutnya dibayar melalui kaedah seperti arahan tetap kepada bank (standing instruction),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas isu kesukaran melaksanakan potongan gaji secara automatik terhadap bekas suami atau bapa yang ingkar memberikan nafkah, khususnya apabila individu berkenaan bekerja sendiri atau bekerja di sektor swasta.
Muhamad Abdul Karim yang kini dilantik sebagai panel Majlis Pengawasan Syariah Amanah Raya Berhad berkata, perkara paling penting adalah kaedah pembayaran atau potongan tersebut perlu dinyatakan dengan jelas dalam perintah mahkamah bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan berkesan.
“Perkara itu perlu disebut dengan jelas dalam perintah Mahkamah. Masalah memang tidak boleh hendak dielakkan terutamanya kalau syarikat tidak memberikan kerjasama. Namun, ketegasan hakim yang memerintahkan itu amat penting.
“Semua negeri mempunyai perintah yang sama. Apa yang penting adalah cara melaksanakan serta ayat dalam perintah itu perlu dibuat dengan bijak dan menyeluruh. Hakim Syarie perlu memainkan peranan,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Nur Atiqah Abd. Rahman berkata, pemotongan gaji secara automatik bekas suami di sektor swasta yang culas membayar nafkah bukanlah mekanisme baharu.
Sebaliknya kaedah penguatkuasaan perintah nafkah yang sememangnya telah diperuntukkan dalam undang-undang syariah dan dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, di Selangor misalnya, berdasarkan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa untuk melaksanakan penghakiman melalui kaedah tahanan pendapatan penghutang penghakiman.
Jelasnya, perkara itu termasuk melalui mekanisme Perintah Tahanan Pendapatan, yang membolehkan pendapatan pihak yang diperintahkan membayar nafkah ditahan dan disalurkan bagi memenuhi kewajipan nafkah yang ditetapkan mahkamah.
“Berdasarkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) penguatkuasaan perintah nafkah boleh melibatkan potongan gaji bagi individu yang mempunyai pekerjaan tetap, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor swasta.
“Dalam kes yang saya kendalikan pada 2019, suami bekerja dengan syarikat swasta dan apabila dia culas membayar nafkah, mahkamah mengeluarkan perintah supaya gajinya dipotong.
“Perintah tersebut diberikan kepada bahagian sumber manusia syarikat berkenaan dan pihak syarikat membuat potongan berdasarkan apa yang dinyatakan dalam perintah mahkamah,” katanya.
Nur Atiqah berkata, mekanisme berkenaan turut pernah dilaksanakan dalam kes melibatkan individu yang diisytiharkan muflis.
“Dalam satu kes yang pernah saya kendalikan, suami telah diisytiharkan bankrap. Mahkamah mengeluarkan arahan supaya bayaran nafkah anak turut dibuat melalui Jabatan Insolvensi.
“Jadi, bukan sesuatu yang baharu untuk perintah Mahkamah melibatkan pihak ketiga bagi memastikan nafkah yang diperintahkan dapat dibayar,” katanya. –UTUSAN











