Hanya empat PBT catat peningkatan penarafan bintang - Kor Ming

Hanya empat PBT catat peningkatan penarafan bintang – Kor Ming

NGA Kor Ming (dua dari kiri) ketika menyampaikan anugerah penarafan cemerlang bagi kategori Bandaraya untuk SPB-PBT 2026 kepada wakil MBPJ semasa Konvensyen PBT dan Sambutan Hari Persekitaran Sedunia (SHKPS) di Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Hanya empat daripada keseluruhan 154 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dinilai menerusi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) 2026 berjaya merekodkan peningkatan dari segi kecekapan perkhidmatan, integriti serta pengurusan kewangan yang baik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, 109 lagi PBT yang dinilai pula mengalami penurunan bintang manakala selebihnya iaitu 41 PBT berjaya mengekalkan penarafan bintang seperti yang diterima sebelum ini.

Katanya, berdasarkan penilaian itu juga, markah purata kebangsaan yang direkodkan adalah sebanyak 78.79 peratus berbanding 90.44 peratus pada 2024 dengan 32 PBT menerima penarafan lima bintang, diikuti 60 PBT dengan empat bintang, 44 PBT (tiga bintang) serta 18 PBT lagi menerima antara satu hingga dua bintang.

“Apapun, kita tidak boleh melihat penilaian ini sebagai satu kegagalan. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu isyarat yang jelas bahawa terdapat ruang besar untuk memperbaiki prestasi serta memperkukuh sistem penyampaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Konvensyen PBT dan Sambutan Hari Persekitaran Sedunia (SHKPS) yang bertemakan ‘Sinergi Madani – PBT Lestari, Persekitaran Harmoni’ di Bertam Resort di sini, hari ini.

Hadir sama pada konvensyen yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow itu ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta beberapa kenamaan lain.

Pada konvensyen itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari Selangor berjaya merangkul penarafan cemerlang bagi kategori Bandaraya untuk SPB-PBT 2026 manakala kategori Perbandaran pula diungguli oleh PBT dari Johor iaitu Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Sementara itu, kategori Daerah dimenangi oleh Majlis Daerah Mersing (MDM), Johor manakala satu lagi kategori iaitu Transformasi Tadbir Urus Terbaik menjadi milik Majlis Daerah Telupid dari Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming mahu setiap PBT berani menilai semula cara mereka bekerja dengan memudahkan proses yang tidak lagi relevan, memperluas penggunaan teknologi serta menggunakan data untuk mengenal pasti masalah lebih awal dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi nilai kepada rakyat.

“Pada masa yang sama, saya mahu prestasi dan integriti menjadi budaya kerja yang berterusan, bukan sesuatu yang hanya diberi perhatian apabila tiba musim penilaian sahaja. Dalam hal ini, PBT yang berjaya melakukan transformasi harus terus diberikan pengiktirafan supaya kejayaan mereka boleh menjadi contoh dan pemangkin kepada PBT lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×