PETALING JAYA: Pakej sokongan majikan perlu diumumkan bersama kadar gaji minimum baharu supaya peningkatan pendapatan pekerja dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peluang pekerjaan serta kestabilan harga pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd. Syahnis Salleh berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji minimum sebagai sebahagian daripada usaha menambah pendapatan dan taraf hidup pekerja.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan gaji minimum turut meningkatkan kos keseluruhan yang ditanggung majikan, termasuk caruman statutori, kos operasi dan tekanan terhadap aliran tunai.
“Kesan itu lebih besar kepada PMKS, khususnya dalam sektor yang banyak bergantung kepada tenaga kerja seperti peruncitan, makanan dan minuman, perkhidmatan, logistik, pembinaan serta sektor sokongan.
“Oleh itu, MTEM berpandangan bahawa sebarang pelaksanaan kadar gaji minimum baharu perlu disertai satu Pakej Penyesuaian Majikan yang khusus, bersasar dan mempunyai tempoh peralihan yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Syahnis berkata, antara langkah dicadangkan adalah subsidi gaji sementara bagi menampung sebahagian kenaikan gaji khususnya untuk PMKS dan sektor berintensifkan tenaga kerja.
Katanya, subsidi itu boleh diberikan selama 12 hingga 24 bulan sebelum dikurangkan secara berperingkat supaya majikan mempunyai masa menyesuaikan model perniagaan dan meningkatkan produktiviti.
MTEM turut mencadangkan pengurangan sementara bahagian caruman majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), khusus ke atas bahagian kenaikan gaji yang berpunca secara langsung daripada pelaksanaan kadar baharu.
“Pendekatan bersasar itu boleh membantu majikan menanggung kos tambahan tanpa mengurangkan perlindungan sosial sedia ada secara kekal.
“MTEM juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan kredit cukai berdasarkan pertambahan kos gaji yang ditanggung majikan, supaya syarikat yang benar-benar menanggung kos tambahan dapat memperoleh semula sebahagiannya melalui sistem percukaian,” katanya.
Menurut Mohd. Syahnis, kenaikan gaji juga perlu berjalan seiring dengan peningkatan produktiviti.
Menurut Mohd. Syahnis, kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan boleh mempertimbangkan pengurangan atau penangguhan sementara sebahagian bayaran cukai pintu, cukai tanah dan lesen perniagaan bagi PMKS yang terkesan secara ketara oleh kenaikan kos buruh.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mengkaji mekanisme pelarasan harga yang telus supaya perniagaan boleh membuat pelarasan secara munasabah apabila peningkatan kos buruh dapat dibuktikan.
Katanya, pendekatan terhadap undang-undang kawalan harga dan antipencatutan perlu membezakan kenaikan harga akibat kos sebenar daripada pencatutan yang tidak munasabah.
“Dalam aspek perolehan kerajaan, MTEM mencadangkan kontrak mengambil kira kos buruh semasa, termasuk mekanisme pelarasan harga bagi kontrak jangka panjang apabila berlaku perubahan besar dalam kos statutori.
“Pembayaran kepada kontraktor dan pembekal PMKS juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan tekanan modal kerja.
“Majikan perlu diberi tempoh persediaan yang jelas dan mencukupi untuk menyesuaikan struktur gaji, kontrak, harga, produktiviti serta aliran tunai, terutama perniagaan kecil yang mempunyai rizab tunai terhad,” katanya. – UTUSAN











