‘Dulu bayar zakat, kini penerima zakat’

‘Dulu bayar zakat, kini penerima zakat’

PETANI yang sepenuhnya bergantung kepada tanaman padi didakwa hanya menerima sekitar RM300 hingga RM500 sebulan selepas tuaian padi dilakukan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keadaan ekonomi sebahagian pesawah Kedah semakin merosot sehingga ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini membayar zakat hasil tanaman namun kini didakwa layak menerima bantuan zakat kerana pendapatan hasil sawah yang tidak menentu.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, perkara itu pernah dibentangkan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tahun lalu.

Katanya, perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar kehidupan pesawah yang hanya bergantung kepada tanaman padi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan perkiraan yang dibuat dalam kalangan pesawah tulen, pendapatan bulanan mereka kini dianggarkan hanya sekitar RM300 hingga RM500, sekali gus meletakkan sebahagian mereka dalam kategori golongan memerlukan bantuan.

“Dulu apabila hasil padi tinggi, peladang mengeluarkan zakat, tetapi bila kita tengok keadaan hari ini pendapatan petani semakin susut sehingga ada yang menjadi asnaf,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini dalam laporan muka hadapan bertajuk Apa nasib Jelapang Padi? menyatakan kedudukan Kedah sebagai negeri pengeluar padi utama negara berdepan persoalan besar apabila perubahan iklim, tekanan bekalan air, tenaga kerja dan kos pengeluaran semakin mencabar kelangsungan industri padi di negeri ini.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, keadaan itu menunjukkan tekanan yang dihadapi pesawah bukan sekadar berkaitan kos pengeluaran, sebaliknya sudah memberi kesan langsung terhadap taraf kehidupan mereka.

Katanya, perkara itu turut menjelaskan kepada pihak berkaitan bahawa tuntutan pesawah berkaitan kos input, bekalan baja dan pendapatan bukan dibuat secara berlebihan atau tanpa asas.

“Kami terangkan pendapatan petani, berapa yang diterima setiap bulan. Kawan-kawan saya yang menanam padi ini, ada yang berada dalam kategori asnaf kerana pendapatan hanya sekitar RM500 atau RM300 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana pesawah yang suatu ketika dahulu mempunyai pendapatan mencukupi untuk menunaikan kewajipan zakat kini berdepan situasi sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×