ARAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan menyeluruh termasuk individu peringkat tertinggi bertanggungjawab membuat keputusan perolehan bekalan baja sehingga berlaku isu kelewatan bekalan baja kepada pesawah di Kedah.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, siasatan SPRM bukan sahaja tertumpu siapa menguruskan baja sebaliknya perlu meliputi individu di peringkat tertinggi.
Katanya, siasatan tidak boleh hanya tertumpu kepada pihak bawahan, sebaliknya perlu meliputi semua peringkat jika benar-benar mahu mencari kebenaran.
“Fokus juga kepada proses perolehan, dokumen kelulusan dan siasat mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan berkenaan.
“Pesawah mungkin tidak mempunyai akses kepada fail kerajaan, tetapi kami berada di lapangan.
“Namun kami melihat sendiri kelewatan berlaku, bagaimana pesawah menunggu, bagaimana musim padi terus berjalan dan akhirnya ada yang menerima baja ketika padi sudah hampir atau sudah dituai.
“Jadi, jangan sampai siasatan hanya tertumpu kepada pengurus, penjaga stor atau pegawai bawahan semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, SPRM Kedah menahan reman seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan kepada pesawah di negeri tersebut.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan SPRM menyiasat isu berkaitan kelewatan bekalan Baja 3 kepada kira-kira 40,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Dalam pada itu, Mohd. Shazwan turut mempersoal, mengapa proses proses perolehan di peringkat atasan mengambil masa begitu lama.
Soal beliau lagi, mengapa sebuah syarikat yang kini dipersoal dari sudut keupayaan dan kompetensinya boleh mendapat kelulusan.
“Siapa yang membuat penilaian, siapa mengesyorkan dan siapa meluluskan ?Apakah asas dan dokumen yang digunakan untuk membuat keputusan tersebut dan paling penting adakah keputusan itu benar-benar melalui proses telus, berintegriti dan mengutamakan kepentingan pesawah.
“Kami tidak menuduh sesiapa bersalah. Kami menuntut SPRM menyiasat sehingga semua persoalan ini terjawab. Kalau ada yang salah, biarlah pihak bertanggungjawab menjawab tidak kira serendah mana atau setinggi mana kedudukannya.
“Rakyat dan pesawah sedang memerhati. Kami mahu jerung disiasat, bukan sekadar ‘kambing hitam’ dikorbankan,” katanya.-UTUSAN










