Bekas CEO FIC tidak mengaku tipu nilai 24 lot tanah Felda

Bekas CEO FIC tidak mengaku tipu nilai 24 lot tanah Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu berhubung projek pembangunan komersial di tanah milik Felda, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zaid Abdul Jalil, 55, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai CEO FIC didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia pelantikan bagi projek ‘The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur’ sedangkan dia mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner sahaja.

Bagi pertuduhan kedua, dia dengan jawatan sama didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah sama berhubung laporan penilaian harga pasaran (market value) 24 lot tanah milik Felda di Jalan Semarak.

Mohd. Zaid didakwa memaklumkan penilaian oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn. Bhd. adalah berjumlah RM330.96 juta sedangkan jumlah sebenar yang dilaporkan adalah RM691.7 juta.

Tertuduh turut memperdaya Lembaga Pengarah dengan menyatakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberi anggaran nilai berharga RM180 juta ke atas lot-lot tanah berkenaan, sedangkan JPPH tidak pernah memberikan nilai indikatif tersebut kepada FIC.

Tindakan itu mendorong Lembaga Pengarah sama menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn. Bhd. bagi cadangan Minimum Guaranteed Return bernilai RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×