KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei gagal dalam permohonan untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menolak permohonan tersebut atas alasan isu yang ditimbulkan bukanlah sesuatu yang kompleks dan tidak dapat ditangani oleh Mahkamah Sesyen.
“Saya tidak bersetuju (dengan permohonan) pemohon (Albert). Keputusan saya ialah isu yang dibangkitkan bukanlah sesuatu yang kompleks. Mana-mana tertuduh boleh mempunyai hak untuk membuat persiapan sewajarnya dalam menghadapi perbicaraan. Dengan itu, permohonan ini ditolak,” kata hakim itu.
Pada Mac lalu, pembelaan memaklumkan akan memohon agar kes Albert, atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana ia membabitkan isu perlembagaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Dia didakwa atas empat pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Albert turut didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar yang dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










