Albert Tei tarik diri, beri laluan BN cabar Anthony Loke

Albert Tei tarik diri, beri laluan BN cabar Anthony Loke

ALBERT TEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Albert Tei menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk memberi laluan kepada calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN), John Siow Kong Choon untuk menentang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Albert berkata, dia membuat keputusan tersebut bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kerusi berkenaan serta memberi peluang kepada BN untuk mencabar Anthony Loke.

“Keputusan itu diambil selepas berbincang dengan Ka Siong semalam. Justeru, bagi memastikan tiada pecah undi, saya menarik diri daripada bertanding di DUN Chennah.

“Saya menyokong penuh calon BN, John Siow kerana selepas membuat penilaian, saya percaya beliau seorang yang berjiwa rakyat dan berkredibiliti untuk menggalas amanah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Albert, dia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada John Siow selain turun berkempen bagi calon BN sepanjang PRN Negeri Sembilan bermula 18 hingga 31 Julai nanti

Katanya, beliau menggunakan tempoh itu untuk membantu BN mendapatkan sokongan pengundi dan berusaha menewaskan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

“Saya juga telah memaklumkan kepadanya (John Siow) bahawa saya akan berdiri di sebelahnya pada hari penamaan calon, 18 Julai ini.

“Saya berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony Loke di DUN Chennah dan menumbangkan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan” katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk memohon menyertai MCA, Albert tidak menolak kemungkinan terbabit.

“Ada kemungkinan tetapi buat masa ini saya belum memohon jadi ahli MCA,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiaan Cheing menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Chennah yang kini disandang Anthony Loke. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN