KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) mampu menang di Negeri Sembilan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) itu diadakan semula susulan kemelut yang berlarutan di negeri berkenaan.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kegagalan menyelesaikan kemelut itu dalam tempoh tertentu berkemungkinan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.
Katanya, Amanah bagaimanapun tidak mahu campur tangan dalam urusan Negeri Sembilan kerana perkara itu tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Sekarang ini hanya ada Menteri Besar seorang dan tiada barisan EXCO. Macam mana nak buat kerja, yang terkesannya adalah rakyat.
“Kemelut ini perlu diselesaikan segera kerana ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menjejaskan kelancaran pentadbiran dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat. Jadi kita berharap mereka mencari jalan selesaikan kemelut ini,” katanya kepada pemberita merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu memberitahu, tindakan menarik sokongan di tengah jalan sebagaimana yabt berlaku di Negeri Sembilan telah mencetuskan ketidakstabilan politik dan perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
Katanya, tindakan sedemikian menyukarkan pembentukan kerajaan yang stabil dan boleh membawa kepada ketidaktentuan politik.
Mohamad berkata, Amanah menerima keputusan politik sama ada menang atau kalah, namun perubahan sokongan di tengah jalan boleh menjejaskan kestabilan pemerintahan.
Media sebelum ini melaporkan, Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran sah, tertib serta berwibawa.
Menurut kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu, Raja-Raja Melayu turut menyeru semua pihak terbabit supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.
Raja-Raja Melayu turut menyeru supaya sebarang perbezaan pendirian diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura serta musyawarah berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.-UTUSAN











