KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei menyahut cabaran debat terbuka dikemukakan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd. Hisyamuddin Ghazali, yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz.
Albert berkata, dia mahu mengetahui butiran lanjut seperti lokasi, penganjur dan masa ditetapkan untuk sesi debat tersebut.
Katanya, beliau bersedia berdebat bila-bila masa dan berharap cabaran dibuat tidak ditarik balik.
“Saya bersedia dan harap cabaran ini diteruskan seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya ditemui dalam Himpunan Gegar Tiktok di sini semalam.
Khamis lalu, Mohd. Hisyamuddin membuat laporan polis terhadap Albert yang didakwa mengganggu ketenteraman selain mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, menggesa polis menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya.
Albert bersama beberapa individu muncul pada sesi sidang media berkenaan dan mengajukan beberapa soalan kepada Mohd. Hisyamuddin yang antaranya bertanyakan bentuk gangguan dilakukannya.
Bagaimanapun, Mohd. Hisyamuddin sekadar berkata, beliau akan cuba menyediakan pentas supaya mereka boleh mengadakan debat.
Albert turut memberikan amaran kepada platform media sosial TikTok agar tidak lagi menyekat kandungan yang menurutnya berkaitan dengan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
Albert berkata, tindakan sekatan oleh platform itu, telah menjejaskan hak kebebasan suara bukan sahaja pihaknya, malah masyarakat Malaysia secara keseluruhan.
“Kita bersedia meneruskan penganjuran himpunan bantahan di hadapan ibu pejabat TikTok sekiranya sekatan terhadap kandungan mereka terus berlaku.
“Ini sebagai satu bentuk ‘perang’ dengan TikTok. Jika mereka terus menyekat, himpunan seperti Gegar TikTok 2 dan Gegar TikTok 3 mungkin akan dianjurkan,” katanya.
Albert turut mempersoalkan sama ada tindakan diambil TikTok itu, ada kaitan dengan arahan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, dia mengakui kerajaan sebelum ini sering menegaskan bahawa keputusan berkaitan pengurusan kandungan adalah hak dan tanggungjawab platform itu sendiri.
“Saya seru TikTok supaya tidak mematuhi sebarang arahan yang didakwanya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Tindakan sekatan berterusan oleh platform itu boleh menjejaskan reputasi mereka di mata masyarakat,” katanya. – UTUSAN










