GEORGE TOWN: Siri jelajah untuk Program MADANI Kita (PMK) boleh menjadi medan interaksi secara langsung antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd. Hisyamuddin Ghazali berkata, dalam hal ini, program tersebut dilihat memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara terus.
Pada masa yang sama, beliau berkata, rakyat juga boleh menyampaikan sebarang input berkaitan kepada pihak kerajaan untuk penambahbaikan.
“Ini yang kita tekankan. Fokus J-Kom ialah membentuk komunikasi dua hala antara rakyat dan kerajaan supaya ada input daripada rakyat terus kepada kerajaan dan kerajaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada PMK Bersama Komuniti MADANI Kita Batu Maung@Bayan Baru di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Hisyamuddin berkata, J-Kom akan memberi tumpuan lebih besar kepada penyampaian maklumat kerajaan menerusi media sosial sebagai sebahagian daripada pendekatan komunikasi baharu jabatan tersebut.
“Sebanyak 70 peratus fokus akan diberi untuk penerangan dan mesej kerajaan melalui media sosial manakala baki 30 peratus lagi akan ditumpukan kepada program-program seperti ini.
“Pendekatan itu dilaksanakan seiring dengan program bersemuka bagi memastikan komunikasi kerajaan bukan hanya bersifat satu hala, sebaliknya turut mengambil kira maklum balas daripada rakyat,” katanya.-UTUSAN











