PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuktikan tuduhan ahli perniagaan, Albert Tei terhadapnya tidak berasas.
Azam berkata, keputusan itu mengesahkan segala dakwaan dibuat Albert sebelum ini tidak mempunyai asas kukuh dan bercanggah dengan fakta serta bukti diperoleh pihak berkuasa.
“Saya bersyukur kebenaran akhirnya terbukti.
“Sebagai individu diamanahkan memimpin SPRM ketika itu dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, saya terpaksa bersabar berdepan pelbagai persepsi negatif yang timbul susulan tuduhan berkenaan.
“Walaupun saya mempertahankan diri, terdapat pihak-pihak tertentu yang sememangnya bersikap anti terhadap saya dan SPRM yang tidak mahu menerima penjelasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
AGC dalam kenyataan berkata, selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan polis berhubung aduan Albert terhadap Azam atas dakwaan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, pihaknya mendapati tiada bukti mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan tersebut.
“Oleh yang demikian, kertas siasatan tersebut telah diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action/tiada tindakan lanjut),” katanya.
Azam berkata, dakwaan dikemukakan oleh Albert dibuat dengan niat tidak baik dan dipercayai didalangi oleh pihak tertentu yang bertujuan memburukkan imej agensi penguat kuasa, kerajaan dan dirinya secara peribadi.
“Albert mempunyai niat yang tidak baik.
“Di belakangnya terdapat golongan tertentu yang kerja mereka adalah untuk memburukkan nama agensi, kerajaan dan saya sendiri.
“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai masalah untuk menerima kecaman dan kritikan pada peringkat awal kerana saya tidak gusar dengan apa yang berlaku,” katanya.
Azam berkata, beliau berada di pihak yang benar dan terdapat bukti menunjukkan pembohongan dilakukan Albert.
“Perkara yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran kepada pegawai penguat kuasa supaya terus menjalankan tugas dengan penuh integriti tanpa dipengaruhi oleh tekanan atau kempen persepsi yang boleh melemahkan usaha penguatkuasaan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










