SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyarankan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei menukar alamat tempat tinggalnya terlebih dahulu sekiranya berhasrat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Penyandang DUN Chennah itu berkata, hasrat mana-mana individu untuk bertanding bukanlah satu isu kerana setiap rakyat mempunyai hak berbuat demikian dalam sebuah negara demokrasi, bagaimanapun, jika mahu bertanding di kerusi DUN di Negeri Sembilan perlu memenuhi syarat ditetapkan.
“Saya punya fokus ialah kepada kerja saya, kepada rakyat dan pengundi-pengundi Chennah yang telah saya wakili selama tiga penggal dan mengenali saya. Jadi siapa-siapa hendak bertanding, silakanlah. Itu hak mereka masing-masing.
“Cuma saya hendak ingatkan, tukar alamat dulu. Kalau hendak bertanding di kerusi DUN, tukar alamat dulu. Kalau bukan alamat Negeri Sembilan, dia tidak boleh bertanding. Ini pilihan raya negeri,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan ahli perniagaan kontroversi, Tei Jiaan Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, 37, mungkin bertanding pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Albert dilaporkan berkata, beliau masih mempertimbangkan perkara itu selepas menerima tawaran daripada sebuah parti politik, namun menyasarkan untuk bertanding di DUN Chennah yang kini disandang Siew Fook.
Sementara itu, mengulas perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Menteri Pengangkutan itu berkata, suasana kempen setakat ini berjalan lancar, aman dan tanpa sebarang insiden walaupun kebanyakan kerusi menyaksikan pertandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, meskipun kedua-dua gabungan itu bertanding sesama sendiri di Johor, mereka masih bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan dan komited memastikan kempen berlangsung secara matang.
“Biasalah, kempen akan menjadi lebih hangat menjelang minggu terakhir sebelum hari pengundian. Namun setakat ini ia berjalan dengan baik, aman dan tanpa apa-apa insiden.
“Walaupun kita ada pendirian masing-masing, pendirian kita ialah kempen mesti dijalankan secara aman dan tanpa provokasi. Itu yang paling penting dan perlu kita kekalkan,” katanya. – UTUSAN










