Abdul Azeez hadapi prosiding reman sebelum pertuduhan rasuah

Abdul Azeez hadapi prosiding reman sebelum pertuduhan rasuah

SUASANA di kaki lima berhadapan mahkamah yang dipenuhi keluarga dan penyokong Abdul Azeez Abdul Rahim bagi prosiding reman. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi prosiding reman sebelum menghadapi pertuduhan rasuah.

Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

“Polis akan memohon perintah reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini.

Difahamkan, Ahli Parlimen Baling itu dibawa oleh polis ke mahkamah melalui laluan dalaman, sekali gus mengelak kehadirannya daripada dikesan petugas media yang menunggu sejak jam 7 pagi.

Turut kelihatan ialah anaknya, Mohamed Khairul Azman serta beberapa pemimpin UMNO.

Sebelum ini, Abdul Azeez direman SPRM selama tujuh hari bermula 26 Ogos lalu bagi membantu siasatan susulan isu dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Penahanan itu berkaitan siasatan serta isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Laporan RCI berkaitan TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu memperincikan kelemahan dalam pengurusan dan operasi dana haji berkenaan bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×