KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang menambah sekurang-kurangnya dua klinik infertiliti setiap tahun di seluruh negara bagi menangani isu kadar kelahiran dan kesuburan yang semakin membimbangkan.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, langkah itu bertujuan memperluaskan akses perkhidmatan subfertiliti berkualiti dan mampu biaya khususnya bagi membantu pasangan berkahwin yang kurang berkemampuan.
Katanya, perkhidmatan rawatan kesuburan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kini beroperasi menerusi empat klinik zon utama iaitu di Pulau Pinang (Zon Utara), Kuala Lumpur (Zon Tengah), Johor Bahru (Zon Selatan) dan Kuching, Sarawak.
“Di Sabah pula, perkhidmatan konsultasi dan kaunseling disediakan melalui tiga Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
“Selain itu, melalui Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (Program BUAI), pasangan yang layak di Sabah boleh mendapatkan rawatan Intrauterine Insemination (IUI) di fasiliti kesuburan swasta dilantik LPPKN menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang berhubung langkah kerajaan memperluas akses Rawatan Persenyawaan In-Vitro (IVF) di Sabah berikutan penurunan kadar kelahiran negara dan keperluan sokongan kesuburan bagi B40 dan M40.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, Program BUAI merangkumi dua inisiatif iaitu subsidi fi rawatan seperti ubat dan prosedur serta program advokasi bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan peserta.
Beliau berkata, seramai 2,641 pasangan di Sabah menerima manfaat daripada program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2025, merangkumi subsidi rawatan dan program advokasi.
Katanya, jumlah itu sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu kira-kira 1,700 pasangan. – UTUSAN









