Kadar kelahiran menurun ancam ekonomi negara

Kadar kelahiran menurun ancam ekonomi negara

PENURUNAN kadar kelahiran yang berterusan berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan antara golongan produktif dan golongan tanggungan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Statistik terkini menunjukkan jumlah kelahiran hidup terus merosot kepada 414,918 pada 2024, iaitu yang terendah sejak 1980. Jumlah tersebut menurun sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) turut menurun daripada 1.7 kepada 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk sebanyak 2.1 anak.

Apabila jumlah kelahiran semakin berkurangan, negara akan berdepan penyusutan tenaga kerja pada masa hadapan.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat kepada 7.7 peratus pada suku pertama 2025, manakala peratusan penduduk berumur 0 hingga 14 tahun terus menurun kepada 22.2 peratus.

Ini menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah status negara menua dengan lebih cepat daripada jangkaan.

Penurunan kadar kelahiran yang berterusan berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan antara golongan produktif dan golongan tanggungan.

Apabila bilangan warga emas meningkat, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan untuk kesihatan, kebajikan dan pencen.

Pada masa sama, jumlah pembayar cukai dan pencarum sistem keselamatan sosial berkemungkinan berkurangan. Keadaan ini boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.

Kekurangan tenaga kerja tempatan juga boleh meningkatkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi tertentu.

Walaupun tenaga kerja asing menyumbang kepada pembangunan ekonomi, kebergantungan yang terlalu tinggi boleh menimbulkan cabaran dari sudut produktiviti, pengaliran keluar pendapatan serta keseimbangan demografi negara.

Pelbagai faktor mendorong pasangan memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil. Antaranya ialah peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang tinggi, kos pendidikan dan penjagaan anak yang semakin meningkat, selain perubahan gaya hidup masyarakat bandar.

Oleh itu, usaha menangani isu ini tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata.

Dasar yang lebih mesra keluarga perlu diperkukuh bagi membantu pasangan muda membina keluarga dan merancang masa depan dengan lebih yakin.

Dalam kerangka ekonomi Islam, pembangunan negara tidak hanya diukur melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga melalui kelestarian masyarakat dan kesejahteraan generasi akan datang.

Jika trend penurunan kelahiran terus berlanjutan, Malaysia berisiko berdepan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan akibat kekurangan tenaga kerja dan peningkatan beban sosial.

Justeru, isu kadar kelahiran perlu dilihat sebagai agenda pembangunan negara yang strategik.

Hakikatnya, kelestarian ekonomi Malaysia bukan sahaja bergantung kepada teknologi, pelaburan atau dasar fiskal yang baik tetapi juga kepada kewujudan generasi baharu yang mencukupi untuk meneruskan pembangunan negara.

Masa hadapan ekonomi negara bermula daripada institusi keluarga hari ini. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMMAD TAQIUDDIN MOHAMAD
Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governan,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN