SHAH ALAM: Pasangan suami isteri perlu memiliki lebih daripada dua orang anak untuk membolehkan negara keluar daripada situasi penguncupan populasi yang dijangka berlaku pada 2072 susulan penurunan kadar kesuburan sejak 2010.
Ini kerana kadar kelahiran negara secara purata berada pada tahap 1.6 bagi setiap pasangan suami isteri pada 2022 berbanding 2.1 pada 2010 dan pertumbuhan sedemikian menyebabkan populasi meningkat hingga 2071 sahaja.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, negeri ini merupakan antara yang terendah kadar kelahirannya di bawah purata kebangsaan iaitu 1.4.
“Maksudnya, pada tahun 2010, kalau seorang wanita hidup sampai akhir tempoh umur reproduktifnya iaitu hingga umur 49 tahun, purata bilangan anak beliau ialah 2.1 orang anak. Pada tahun 2022, dah kurang jadi 1.6 orang anak secara purata.
“Masalahnya, jika satu pasangan suami dan isteri melahirkan kurang daripada dua orang anak, lama-lama bilangan populasi kita akan berkurang, tak cukup untuk gantikan populasi sedia ada,” katanya ketika berucap pada perasmian Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2024, hari ini.
Terdahulu, Malaysia dianggap sebagai negara yang menua berikutan peningkatan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang turut disumbang oleh pengurangan kumpulan umur muda kosong hingga 14 tahun sebanyak 3.6 peratus pada 2020 berbanding 2010.
Selangor juga mencatatkan penurunan sebanyak 7.2 peratus bagi bilangan kelahiran hidup pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya menunjukkan tahap kesuburan di negeri ini berada pada tahap membimbangkan.
Sementara itu, Anfaal ketika ditemui selepas program tersebut menggesa perbincangan mengenai pasangan suami isteri bebas anak atau ‘child-free’ perlu dihentikan dengan memupuk kepentingan nilai kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
“Sekiranya kita mengiktiraf isu tersebut sebagai satu tren ia akan menjadi kesan sporadik kepada yang lain, kita perlu membawa tanggungjawab untuk kembalikan nilai kekeluargaan, malah dalam Islam juga antara maqasid syariah adalah tentang keturunan.
“Video tentang perbincangan pasangan suami isteri tentang pilihan mereka untuk child-free, kita perlu hentikan diskusi tersebut dengan menghidupkan contohnya LPPKN di bawah JKM juga sambutan-sambutan dan sebagainya supaya kita hidupkan suasana kekeluargaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memainkan peranan mengatasi masalah penurunan kadar kelahiran termasuk mengenalpasti kadar waktu kerja anjal bagi memudahkan pengurusan anak oleh pasangan suami isteri bekerja.
“Jadi, kita akan melihat lagi faktor ekonomi lain yang mungkin dengan bantuan atau subsidi daripada kerajaan negeri dan juga satu perkara yang saya minta agensi kerajaan negeri iaitu Wanita Berdaya Selangor membuat kajian berkaitan waktu kerja anjal.
“Sekiranya kita mendapat sokongan daripada bukan sahaja jabatan kerajaan malah di pihak swasta untuk memberi sokongan kepada wanita bekerja mungkin itu akan menyebabkan peningkatan dari segi pertimbangan untuk pasangan suami isteri memiliki lebih daripada dua orang anak,” ujarnya. – UTUSAN










