Kadar kelahiran rendah, kempen bina keluarga tahun depan - Utusan Malaysia

Kadar kelahiran rendah, kempen bina keluarga tahun depan

Kadar kelahiran
NANCY Shukry mendengar penerangan salah satu tarikan yang terdapat pada Immersive Winterland@i-City pada majlis perasmiannya dekat i-City di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan kempen berkaitan pembinaan keluarga bermula tahun depan susulan laporan kadar kelahiran negara yang rendah.

Antara matlamat kempen tersebut termasuklah menggalakkan rakyat di negara ini untuk membina keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya peka dengan kadar kelahiran yang rendah sebagaimana yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Oktober lalu dan mahu mengambil inisiatif dengan mengadakan seminar kekeluargaan.

“Justeru tahun hadapan kita bercadang akan mengadakan program (seminar) tempatan dan antarabangsa dengan tujuan menggalakkan orang muda berkahwin supaya mempunyai zuriat dan menggalakkan mereka hidup membina keluarga.

“Bagi memantapkan institusi keluarga (dan mengurangkan kadar perceraian), kita juga mengadakan bulan keluarga pada setiap November. Program berkelah yang kita anjurkan mendapat sokongan masyarakat yang membawa anak-anak mereka,” katanya ketika hadir merasmikan Immersive Winterland@i-City, hari ini.

Sebelum ini, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun lalu, direkodkan paling rendah sejak lima dekad lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, data tahun lalu itu juga direkod menurun berbanding 1.7 kadar kesuburan pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas KPWKM dengan i-City dan menzahirkan penghargaan atas sumbangan berjumlah RM8.4 juta sebagai diskaun bagi aktiviti keluarga semasa cuti sekolah yang diperuntukkan i-City sempena program alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) iaitu One Shah Alam, One Destination.

“Pembukaan Immersive Winterland@i-City juga amat sesuai untuk terapi kanak-kanak autisme yang memerlukan perhatian khusus. Malah, bukan kanak-kanak sahaja, golongan dewasa boleh juga menggunakan tempat ini untuk terapi.

“Kami memang mencari peluang untuk melihat tarikan-tarikan untuk kanak-kanak dan juga orang-orang untuk dibawa keluar melihat tempat-tempat yang menarik. Oleh itu, sempena dengan cuti sekolah yang akan bermula nanti, saya sarankan kepada ibu bapa untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka di sini,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan sumbangan tersebut  rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun harga rendah bagi pakej-pakej aktiviti yang ditawarkan kepada 100,000 keluarga yang boleh didapati bermula 1 Disember depan hingga 31 Mac 2024.

Melalui diskaun harga rendah ini, empat sekeluarga boleh mendapatkan pakej-pakej riadah di i-City dengan harga diskaun serendah RM120. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya