PETALING JAYA: Citawarna Malaysia menjadi jambatan perpaduan apabila acara yang berakar pada sejarah dan identiti negara itu berjaya menghimpunkan rakyat pelbagai kaum untuk meraikan kepelbagaian warisan dan menyuburkan semangat saling menghormati serta memperkukuh keharmonian masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, acara yang dihidupkan semula itu adalah salah satu usaha kerajaan dalam memelihara warisan budaya yang menjadi tunjang identiti negara.
Menurutnya, Citrawarna yang kali terakhir dianjurkan tujuh tahun lalu menghimpunkan kepelbagaian tradisi serta warisan dari seluruh negara dalam satu pertunjukan penuh warna-warni.
“Lebih menggembirakan apabila acara yang berakar pada sejarah dan identiti kita ini berjaya menghimpunkan rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama menikmati keindahan budaya Malaysia. Ia sekali gus menyuburkan rasa saling menghargai dan memperkukuh semangat perpaduan.
“Selepas kali terakhir dianjurkan tujuh tahun lalu, Kerajaan Madani kembali menghidupkan Citrawarna bagi mempergiat usaha memelihara warisan budaya yang menjadi tunjang identiti negara.
“Selain, memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Anwar berkata, beliau teruja menyaksikan persembahan dari setiap negeri yang dibawakan dengan penuh semangat.
Katanya, antara persembahan yang dipersembahkan termasuk randai dan tari piring, zapin dan samrah, dondang sayang serta tarian canggung.
“Setiap persembahan bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat sejarah dan kisah di sebalik seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap lebih banyak acara yang mengetengahkan kekayaan seni, budaya dan warisan negara terus diraikan serta mendapat dukungan semua pihak.
Katanya, sokongan termasuk daripada sektor swasta penting bagi memastikan khazanah budaya negara terus hidup dan diwarisi generasi mendatang.
Malam tadi, Citrawarna 2026 telah kembali memeriahkan Dataran Merdeka sebagai salah satu acara utama Tourism Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Acara Citra Perarakan (Colours of Parade) itu telah menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.
Citrawarna 2026 turut berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas, melibatkan pelancong dari negara China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis. – UTUSAN










