Belanjawan 2027 kekal berteraskan kerangka Malaysia Madani

Belanjawan 2027 kekal berteraskan kerangka Malaysia Madani

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober nanti akan kekal berteraskan kerangka Malaysia Madani bagi memastikan pembangunan ekonomi berdasarkan maruah insaniah, keterangkuman serta matlamat sebenar tadbir urus negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persiapan bagi Belanjawan 2027 kini sedang giat dijalankan dengan kerajaan berusaha memastikan agenda ekonomi negara terus berlandaskan prinsip tersebut.

“Walaupun berdepan pelbagai tekanan, saya tidak pernah mengabaikan persoalan asas yang kita rangkumkan dalam kerangka Malaysia Madani.

“Belanjawan, pertumbuhan, dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital tidak boleh mengabaikan usaha kita untuk mengembalikan tujuan moral dalam tadbir urus dan pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026, hari ini.

Perdana Menteri berkata, petunjuk seperti pertumbuhan ekonomi, pelaburan, eksport, produktiviti, prestasi pasaran dan disiplin fiskal sememangnya penting.

Bagaimanapun, katanya, pembuat dasar juga perlu menilai sama ada pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memperluaskan peluang, mengukuhkan institusi keluarga dan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Tambahnya, untuk terus maju, Malaysia mesti kekal berdaya saing, produktif dan terbuka kepada pelaburan namun kehidupan ekonomi mesti dihubungkan semula dengan tujuan moral.

“Dan inilah cabaran terbesar kita. Mengembalikan nilai kemanusiaan bermaksud menghidupkan semula satu hakikat yang mudah tetapi sering dilupakan, iaitu ekonomi hanyalah alat, bukannya matlamat.

“Tujuan ekonomi bukan sekadar menghasilkan angka pertumbuhan yang lebih tinggi, meningkatkan penggunaan atau mengumpulkan kekayaan lebih besar.

“Sebaliknya, ekonomi seharusnya membolehkan manusia hidup dengan penuh maruah, memiliki jaminan kehidupan, tujuan hidup serta harapan,” katanya.

Beliau berkata, agenda itu bukan sekadar slogan yang dipaparkan pada sepanduk namun ia mesti diterjemahkan melalui dasar, institusi dan tingkah laku pentadbiran.

Katanya lagi, kelestarian bermaksud generasi masa kini tidak mewariskan beban alam sekitar, kewangan mahupun sosial kepada generasi akan datang.

Pada masa sama, inovasi pula mesti memperluaskan keupayaan manusia, bukannya menambahkan jurang dan menyebabkan lebih ramai tersisih daripada arus pembangunan.

“Memang mudah untuk menyatakannya. Namun percayalah, untuk melaksanakannya merupakan satu tugas yang amat mencabar. Persoalannya, bagaimanakah kita menterjemahkan kemakmuran kepada kehidupan rakyat?

“Bagaimanakah kemakmuran itu dapat diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik, pekerjaan bermakna, perumahan mampu milik, perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, pendidikan berkualiti, komuniti yang sejahtera serta mobiliti sosial yang lebih baik?,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN