KANGAR: Seorang bekas anggota tentera berdepan hukuman penjara dan denda RM10,000 selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata api, senjata tiruan serta ratusan butir peluru hidup tanpa kebenaran sah awal bulan ini.
Tertuduh, Suhaimi Che Din, 49, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Di Mahkamah Sesyen, Suhaimi didakwa memiliki selaras senapang jenis CZ 457 Premium .22R bersama satu kelopak mengandungi dua butir peluru kaliber .22R.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa memiliki empat laras senapang angin termasuk jenis Umarex Gauntlet 2, Model X-1, Greyhound T-Rex Bullpup dan Sharp Tiger serta 21 butir peluru 12 Bore Buckshot dan 300 butir peluru .22 Rimfire.
Selain itu, tertuduh didakwa memiliki empat laras senapang angin tiruan termasuk senapang buatan sendiri berkaliber .22 (5.6mm).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kebun di Kampung Wang Pisang berhampiran Taman Beseri Jaya, Beseri, kira-kira jam 12.45 tengah malam pada 5 Julai lalu.
Di Mahkamah Majistret pula, Suhaimi didakwa memiliki pelbagai jenis peluru termasuk 137 butir peluru tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Pangsapuri Terinai, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Mohd Zakuan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










