Subkontraktor didakwa dagang, miliki senjata api - Utusan Malaysia

Subkontraktor didakwa dagang, miliki senjata api

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa ke mahkamah bagi menghadapi enam pertuduhan berdagang dan memiliki senjata api bersama peluru di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang subkontraktor didakwa masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Majistret atas enam pertuduhan berdagang serta memiliki senjata api bersama peluru.

Tertuduh, Yeong Kok Hoong, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di kedua-dua mahkamah berkenaan di sini hari ini.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh berdepan empat pertuduhan termasuk menjalankan urus niaga senjata api sewaktu pertuduhan dibacakan dihadapan hakim, Syarifah Norazlita Syed Salim Idid.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan urus niaga tiga senjata api jenis cz750 d, Stoeger Str-9 dan Cougar 8000 Ft di sebuah rumah di Jalan Repoh, Taman Repoh, di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, pada 8 Julai lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pertuduhan kedua dan ketiga, Kok Hoong didakwa memiliki tanpa kebenaran sah selaras senjata airsoft Rifle Tact (4.5mm) dan satu pistol airsoft (4.5mm) mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, serta tujuh pistol airsoft (4.5mm) yang diklasifikasikan sebagai senjata tiruan mengikut Seksyen 36(1) akta sama.

Manakala, bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memiliki pelbagai jenis peluru dan kelongsong tanpa kebenaran sah membabitkan 85 butir peluru Rc2 Competition 12 bore, enam butir Bornaghi 12 bore, 121 butir Remington 12 bore, 6,886 kelongsong 9mm, 1,503 kelongsong .22 dan 550 kelongsong .38, di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Mahkamah Sesyen tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan dan tertuduh turut diperintahkan ditahan reman.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dua pistol airsoft (Po3456 dan Taurus), satu komponen recoil spring dan satu aksesori kelopak (magazine) airsoft tanpa kebenaran sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, Kok Hoong didakwa memiliki selaras senjata shotgun bertanda 1988 yang diklasifikasikan sebagai senjata tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Jika sabit salah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong 11, Taman Utara Jaya, Kuala Perlis, kira-kira jam 3.30 petang pada tarikh yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN