SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan termasuk memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran serta melakukan ugutan jenayah, awal bulan ini.
Tertuduh, Kor Wei Ye, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nabisha Ibrahim dan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad dalam prosiding berasingan.
Di hadapan Hakim Nabisha, dia yang merupakan seorang penganggur didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenama ‘Sigarms’ berwarna perak tanpa kebenaran yang sah dilakukan kira-kira pukul 9 pagi di sebuah rumah di Bandar Laguna Merbok, di sini pada 7 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan maksimum enam sebatan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, dia tidak mengaku bersalah atas lima lagi pertuduhan memiliki 10 butir peluru tanpa lesen, tiga ugutan jenayah kepada tiga mangsa berbeza dan memiliki dadah jenis ketamin seberat 45.5 gram.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga kes di Mahkamah Sesyen selesai serta menetapkan tarikh serahan laporan kimia kes melibatkan dadah pada 21 April 2026, sementara kes lain ditetapkan pada 21 Januari depan
Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan dan Adlin Sufiya Kamaruzzaman, sementara tertuduh diwakili Peguam Chong Choon Yuen.
Pada 7 Disember lalu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengugut jirannya, seorang wanita warga emas berusia 72 tahun dengan sepucuk pistol dalam pertengkaran di Bandar Laguna Merbok. – UTUSAN










