Penguatkuasa perlu bersikap lebih tegas

Penguatkuasa perlu bersikap lebih tegas

SAMPAI masanya pihak kerajaan menilai semula keberkesanan penguatkuasaan terhadap warga asing yang dilihat makin hari tidak pedulikan peraturan dan undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA ingin memberi pandangan tentang cara penguatkuasa bertindak dalam menegakkan peraturan dan undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

Umum mengetahui, undang-undang dan peraturan dunia ini dibuat oleh manusia dan sudah tentulah banyak kelemahan dan perlukan keadilan untuk mengenalpasti sebarang kelompongan atau kelemahan yang menyebabkan peraturan tersebut perlu dikemaskini dan disesuaikan mengikut masa mahupun keadaan peristiwa.

Penguatkuasaan yang sambil lewa dan tidak tegas hanya menyebabkan pelanggar undang-undang mengambil mudah terhadap peraturan. Akibatnya, tindakan tersebut gagal memberikan kesan pencegahan, malah kesalahan yang sama terus berulang dan semakin meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penguasa undang-undang perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk mendepani ketidakpatuhan undang-undang terutama yang melibatkan warga asing yang semakin hari semakin mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

Melihat keadaan semasa, khususnya kebanjiran warga asing dan sikap segelintir mereka yang tidak mematuhi peraturan, menyebabkan pendekatan penguatkuasaan perlu diperkukuh dengan tindakan yang tegas dan konsisten. Langkah ini penting bagi menunjukkan kerajaan serius dalam menangani setiap pelanggaran undang-undang negara.

Tindakan agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi berkaitan dilihat masih belum berkesan sepenuhnya dalam menangani isu warga asing, meskipun setiap agensi mempunyai bidang tugas masing-masing.

Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula keberkesanan penguatkuasaan terhadap warga asing yang terus melanggar peraturan seolah-olah tidak gentar akan tindakan pihak berkuasa.

Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, hanya menyebabkan kesejahteraan dan ketenteraman hidup rakyat boleh terjejas, malah timbul kebimbangan bahawa peraturan negara sendiri semakin tidak dihormati.

Persoalannya, bagaimana kedaulatan dan kemerdekaan negara hendak dipertahankan jika undang-undang gagal dikuatkuasakan dengan berkesan? Keadaan di sesetengah kawasan, termasuk Selayang yang didakwa dikuasai oleh komuniti Rohingya, menimbulkan kebimbangan tentang keberkesanan kawalan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

Akhirnya, kemajuan negara dalam bidang ekonomi, kesejahteraan sosial, peluang pekerjaan dan perumahan turut menimbulkan cabaran apabila rakyat perlu bersaing dengan pertambahan warga asing.

Keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus isu tersebut secara menyeluruh.

Jangan sampai rakyat sendiri tertanya-tanya sama ada mereka masih berada di negara sendiri atau sebaliknya.

Kita memerlukan warga asing untuk membantu membangunkan negara tetapi bukan sehingga menjejaskan kehidupan, hak dan kesejahteraan rakyat tempatan. –UTUSAN

WARGA PRIHATIN
Temerloh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini