ALOR SETAR: Seorang pemilik kilang ditahan polis selepas dipercayai membekalkan senjata api kepada pekerja asing yang diupahnya bekerja di kilang memproses makanan di Sungai Petani, minggu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah malam yang dilakukan di asrama pekerja terbabit, polis pada mulanya menemukan satu kelopak peluru dan dua butir kelongsong peluru dalam bilik didiami seorang lelaki warganegara India.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dua hari kemudian suspek membawa polis ke pejabat kilang terbabit sebelum menemukan beg plastik yang mengandungi sepucuk pistol berjenama Sig Sauer dan satu kelopak peluru.
“Seterusnya pada Sabtu lalu, polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga pemilik kilang berkenaan di sebuah pangsapuri di Langkawi.
“Suspek dipercayai membekalkan senjata api terbabit kepada lelaki warganegara India yang ditahan sebelum itu. Dia juga memiliki tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan, ugutan dan bunuh,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tambahnya, semakan mendapati kilang itu pernah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 19 November lalu berkenaan penggunaan logo halal tidak sah.
“Pihak KPDN merampas dan menyita pelbagai produk berupa mi kuning, kuetiau dan plastik bungkusan yang digunakan untuk membungkus produk-produk tersebut,” katanya.
Sementara itu, serbuan di kilang terbabit turut membawa penangkapan terhadap 17 pekerja asing terdiri daripada warganegara India, Bangladesh dan Myanmar
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 kerana memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata dan amunisi tanpa permit dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adzli memaklumkan, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap 29 mayat mangsa bot karam di perairan Langkawi telah diambil untuk memudahkan proses pengecaman bagi keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, mayat 15 lelaki, sembilan wanita, tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki itu telah selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“DNA semua mangsa ini diambil dengan mengambil kira sebarang kemungkinan nanti kerana mungkin ada keluarga atau saudara-mara yang mencari mereka, sebab itu sampel DNA mereka termasuk cap jari,” katanya. – UTUSAN










