SEREMBAN: Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang maut di kuarters kakitangan kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu disambung tempoh remannya selama tujuh hari lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 30-an itu dilanjutkan bermula esok hingga 29 Oktober ini bagi melengkapkan siasatan.
“Permohonan telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban selepas tempoh reman suspek sebelum ini yang bermula 16 Oktober tamat hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, Norhazwani ditemukan maut di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain terdapat kesan tikaman pada bahagian tepi perut dan pipi.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga selepas mangsa dikatakan menyatakan hasrat untuk bercerai.
Sementara itu, semakan polis mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau, dengan 10 daripadanya berkaitan kesalahan narkotik, manakala enam lagi membabitkan kes pecah rumah, curi dan memiliki barang curi.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua orang anak berusia enam dan lima tahun. – UTUSAN











