PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa antara nama yang dikaitkan dengan kemasukan semula ke UMNO bersama 21,858 ahli baharu dan bekas ahli parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu direkodkan sejak pendaftaran secara dalam talian dibuka secara rasmi pada 20 April lalu sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 10 Jun.
Menurut beliau, penyertaan tersebut melibatkan ahli baharu serta kemasukan semula bekas pimpinan dan ahli UMNO, termasuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari seluruh negara.
“Sejak secara rasmi pendaftaran secara atas talian dibuka pada 20 April 2026, sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO 10 Jun 2026.
“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Asyraf turut memuat naik poster memaparkan beberapa nama bekas pemimpin termasuk Mustapa, Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Mokhtar Samad.
Poster itu turut memaparkan mesej “Selamat kembali ke Rumah Bangsa” sebagai simbolik kepada kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli parti berkenaan.
Asyraf berkata, beliau berharap penyertaan itu memberi kekuatan baharu kepada UMNO yang disifatkannya sebagai Rumah Bangsa.
“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya. – UTUSAN








