KUALA LUMPUR: Syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) memohon untuk mengadakan perbincangan berhubung tuntutan Malaysia berkaitan pembatalan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM), baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, Kementerian Pertahanan tetap akan meneruskan tuntutan berhubung kegagalan syarikat tersebut memenuhi kontrak berkenaan.
“Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Tetapi bincang apa pun, tuntutan (ganti rugi) kita masih berjalan.
“Kita (Mindef dan KDA) masih belum berjumpa lagi dan setakat ini kita tidak tahu apa yang mereka hendak bincangkan, tapi kita ada terima surat daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, MINDEF telah menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan berkenaan susulan pembatalan kontrak perolehan NSM.
Malaysia juga dilaporkan akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan kontrak perolehan tersebut selepas perubahan dasar kerajaan Norway berkaitan eksport senjata.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pembatalan itu dimaklumkan oleh wakil KDA ketika Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, baru-baru ini.
Kata Mohamed Khaled, kerajaan telah membuat pembayaran kira-kira 95 peratus bagi dua kontrak utama iaitu kapal misi pesisir (LCS) serta frigat Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat yang bernilai lebih RM600 juta. – UTUSAN










