PETALING JAYA: PKR menyerahkan notis berkenaan penamatan keahlian Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.
Notis itu dibuat susulan pengisytiharan keluar parti oleh kedua-dua bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu pada Ahad lalu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, parti berpendirian bahawa tindakan meninggalkan parti melalui pengisytiharan mereka itu menyebabkan Perkara 9.1(c) Perlembagaan Parti Keadilan adalah terpakai.
“PKR juga berpendirian bahawa tindakan tersebut mempunyai kesan langsung di bawah Perkara 49A (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, saya selaku Setiausaha Agung menyerahkan keputusan mengenai status mereka berkenaan Perkara 49A (1)(c) dan juga tindakan lanjut kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen disandang masing-masing iaitu Pandan dan Setiawangsa.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR sehari kemudian.
Rafizi dan Nik Nazmi dalam program sama turut mengumumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang. – UTUSAN










