KUALA TERENGGANU: Sanggup meredah hutan tebal dan tinggal berminggu-minggu malah berbulan-bulan di dalam kawasan perlindungan demi memburu hasil hutan gaharu yang mencecah puluhan ribuan ringgit sekilogram.
Harga kepingan isi gaharu liar yang menjadi bahan utama dalam menghasilkan minyak wangi, farmaseutikal dan kosmetik boleh mencecah RM10,000 hingga RM100,000 sekilogram (kg) berdasarkan kualiti serta grednya. Satu laporan pada tahun lalu menyebut, kayu gaharu adalah komoditi bernilai tinggi dengan anggaran pasaran global mencecah AS$1 bilion.
Antara kegiatan sindiket pencerobohan kayu gaharu yang pernah dibongkar di negara ini adalah melibatkan rampasan barang kes mencecah RM106 juta di Melaka, Ogos tahun lalu.
Hakikatnya, kegiatan pencerobohan ini tidak pernah ‘tidur’ untuk memburu gaharu yang tumbuh semula jadi termasuk di Tasik Kenyir.
GAHARU LIAR TERENGGANU BERNILAI TINGGI
Gaharu yang tumbuh secara semula jadi di hutan di Terengganu diiktiraf sebagai antara yang terbaik dan paling bernilai tinggi, dengan gred premium mampu mencecah sehingga RM80,000 per kg.
Pengusaha gaharu berpengalaman, Wan Rosdi Wan Abdul Aziz, 70, dari Kampung Merchang, Marang, dekat sini berkata, gaharu semula jadi mempunyai kualiti lebih tinggi berbanding yang ditanam kerana proses pembentukan resin berlaku secara alami.
Menurutnya, kualiti Gaharu di Terengganu turut diperakui pembeli gaharu dari negara luar seperti Arab Saudi.
“Gaharu terbaik adalah yang tumbuh dalam hutan secara semula jadi. Kualitinya lebih tinggi kerana resin terbentuk hasil tindak balas semula jadi pokok terhadap persekitaran. Namun, bekalannya sangat terhad dan sukar diperoleh, menyebabkan harganya jauh lebih mahal di pasaran,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Justeru, dia melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan pencerobohan hutan oleh pihak luar termasuk warga asing yang dipercayai memasuki kawasan hutan negeri ini bagi mendapatkan gaharu secara haram.
“Kawasan hutan seperti di Tasik Kenyir sering menjadi sasaran kerana terdapat pokok gaharu matang. Jika tidak dikawal, sumber semula jadi ini boleh pupus,” katanya.
Dia berharap penguatkuasaan dapat dipertingkat bagi melindungi khazanah hutan serta memastikan industri gaharu tempatan terus berkembang secara sah.
Wan Rosdi telah berkecimpung dalam industri perusahaan minyak gaharu lebih 20 tahun dan kini mengusahakan kira-kira 2,000 pokok gaharu yang ditanam sendiri selain bekerjasama dengan penanam lain dengan pelaburan mencecah puluhan ribu ringgit.

‘EMAS HUTAN’ YANG DIBURU
Kegiatan aktiviti pencerobohan haram gaharu bukan sahaja merugikan negara malah secara langsung mengubah landskap hutan apabila laluan digunakan penceroboh turut menjadi akses mudah kepada penceroboh lain.
Lebih membimbangkan, aktiviti ‘lanun rimba’ ini memberi kesan kepada habitat hidupan liar termasuk spesies terancam seperti harimau Malaya yang bergantung kepada ekosistem hutan yang stabil untuk terus hidup.
Antara pergerakan penceroboh hutan adalah melalui laluan air dan darat menggunakan bot fiber atau berjalan kaki untuk memasuki kawasan pedalaman yang sukar dipantau.
Penceroboh berada di hutan dalam beberapa tempoh sebulan hingga dua bulan bagi mencuri gaharu berbekalkan peralatan seperti parang selain bekalan makanan manakala sindiket pula menggunakan kelengkapan lebih moden.
Situasi ini mendorong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Panthera menjalankan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan flora fauna terutama gaharu di Tasik Kenyir
Penyelaras Projek Kenyir Panthera Malaysia, Melynda Cheok Ka Yi berkata, ancaman pencerobohan gaharu semakin membimbangkan dan menunjukkan pola berulang.
“Nilai gaharu yang tinggi menjadi faktor utama. Penceroboh tidak masuk sekali tetapi berkali-kali ke kawasan yang sudah disasarkan. Setiap kali masuk, mereka bukan sahaja mengambil hasil hutan tetapi meninggalkan kesan jangka panjang kepada ekosistem alam semulajadi,” katanya.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila kegiatan itu dipercayai melibatkan rangkaian sindiket terancang termasuk pembabitan warga asing yang mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu dalam mengesan gaharu.
“Mereka bukan masuk secara rawak. Ada perancangan teliti, ada laluan dan ada sokongan logistik. Ini yang menjadikan ancaman ini lebih kompleks,” katanya.

TEKNOLOGI JADI BENTENG PEMANTAUAN
Dalam usaha mengekang ancaman tersebut, pendekatan pemantauan berasaskan teknologi kini menjadi antara strategi utama. Melalui penggunaan kamera perangkap, setiap pergerakan di dalam hutan dapat direkodkan dan dianalisis secara sistematik.
“Kamera dipasang secara berkala, satu unit bagi jarak tertentu. Ia merekodkan tarikh, masa dan lokasi, dan data akan dikumpulkan setiap tiga bulan,” kata Ka Yi.
Menurutnya, kamera tersebut dipasang pada ketinggian tertentu dari tanah bagi memastikan pergerakan hidupan liar dan manusia dapat dikesan dengan jelas.
“Jarak antara pemasangan juga diambil kira, sekitar 150 sentimeter antara pokok, bagi memastikan liputan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Sehingga kini, usaha pemantauan meliputi kira-kira 120,000 hektar landskap Tasik Kenyir, termasuk 32,415 hektar Taman Negeri Kenyir serta lebih 80,000 hektar kawasan Taman Negara.
Data yang diperoleh bukan sahaja membantu mengenal pasti taburan hidupan liar, malah menjadi asas penting dalam mengesan ‘kawasan panas’ pencerobohan bagi tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.
JEJAK BAHARU PENCEROBOH TERUS DIKESAN
Sementara itu, Ka Yi berkata, ancaman pencerobohan ini bukan sekadar andaian semata-mata sebaliknya dibuktikan melalui penemuan di lapangan. Awal April lalu, kesan pencerobohan baharu ditemukan di kawasan hutan di Tasik Kenyir dipercayai melibatkan tiga individu warga Vietnam.
“Kesan tinggalan seperti tempat perkhemahan dan laluan yang digunakan menunjukkan aktiviti ini masih baharu malah turut menemukan sisa kayu gaharu yang diracik-racik halus. Malah, renjer bertugas terserempak dengan penceroboh yang berjalan kaki di jalan utama,” katanya.
Penemuan itu menguatkan lagi kebimbangan bahawa hutan di Tasik Kenyir terus menjadi sasaran aktif pihak yang tidak bertanggungjawab.

ANCAMAN BERUBAH, STRATEGI JUGA BERUBAH
Ka Yi berkata, dapatan kajian lapangan menunjukkan bahawa ancaman terhadap Kenyir kini tidak lagi tertumpu kepada pemburuan haram semata-mata. Sebaliknya, pencerobohan hutan termasuk kecurian gaharu muncul sebagai ancaman utama yang memerlukan pendekatan berbeza.
“Pada peringkat awal Panthera berada di Tasik Kenyir, fokus kami adalah kepada penyelidikan dan pemantauan hidupan liar. Namun, apabila data menunjukkan pencerobohan semakin ketara, pendekatan kami turut berubah kepada perlindungan lapangan yang lebih aktif,” katanya.
Ini termasuk menyokong rondaan, memperkukuh penguatkuasaan oleh Renjer Panthera serta menggunakan data bagi membantu agensi kerajaan memberi keutamaan kepada kawasan berisiko tinggi.
Rekod Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) turut menunjukkan, sebanyak tiga kes pencerobohan berlaku, iaitu satu kes pada 2022 dan dua kes pada tahun lalu melibatkan warga Kemboja.
Menurut sumber MPTN, Taman Negeri Kenyir adalah kawasan yang diwartakan dan dilindungi dan tidak boleh dimasuki tanpa mendapatkan kebenaran daripada Pengarah MPTN. Oleh yang demikian, sebarang kemasukan atau aktiviti tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan apatah lagi memburu atau menceroboh.
Mengulas kes kecurian gaharu di Taman Negeri Kenyir pada tahun lalu, sumber MPTN berkata, kes pada Mei dan Jun membabitkan lima warga Kemboja yang dibebaskan dengan jaminan, manakala kes kedua pula melibatkan dua warga Kemboja, iaitu anak dan bapa yang masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

PERLU PENDEKATAN BERSEPADU, BERTERUSAN
Realitinya, pencerobohan gaharu bukan isu sementara sebaliknya ancaman berterusan yang memerlukan komitmen jangka panjang daripada semua pihak. Tanpa penguatkuasaan konsisten, pemantauan berteknologi serta kerjasama erat antara agensi kerajaan dan NGO, risiko kemusnahan ekosistem Kenyir terus meningkat.
Pendekatan bersepadu yang menggabungkan kekuatan data, rondaan lapangan dan tindakan tegas menjadi kunci utama dalam memastikan kawasan ini kekal terpulihara.
Lebih daripada itu, usaha ini penting bagi menjamin kelangsungan Tasik Kenyir sebagai benteng biodiversiti negara serta warisan alam yang tidak ternilai untuk generasi akan datang. – UTUSAN










