Dadah cemari generasi Felda

Dadah cemari generasi Felda

SEBAHAGIAN penagih menunggu giliran untuk diambil sampel darah bagi mengenal pasti penyakit yang dihidapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENUBUHAN Felda sejak 1956 adalah bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu luar bandar melalui pembukaan tanah rancangan baharu. Bagaimanapun, generasi peneroka Felda berdepan masalah sosial yang dikatakan ‘diwariskan’ turun temurun apabila kawasan tanah rancangan itu dijadikan ‘port’ penagihan dan pengedaran dadah yang sudah lebih 40 tahun. Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej Felda, malah menjerat generasi muda dalam kitaran gelap yang sukar diputuskan.

KUANTAN: Penagihan dadah di kawasan tanah rancangan Felda bukan sekadar berpunca daripada pengaruh luar, tetapi juga budaya dalaman yang terbentuk sejak bertahun-tahun.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap masalah dadah di situ dan tidak mahu kawasan tanah rancangan terus dijadikan ‘sarang’ dadah.

Selain itu, difahamkan penjualan dadah di kawasan tanah rancangan didakwa berleluasa kerana dilindungi pihak tertentu yang menjadikan Felda ‘port’ menjual bahan terlarang tersebut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar mendakwa, kawasan Felda kini berdepan krisis sosial membimbangkan ekoran penularan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara meluas.

Beliau mendakwa, Felda terus menjadi ‘port’ strategik bagi sindiket dadah kerana kedudukan yang terpencil tetapi mudah diakses.

“Semua jenis dadah ada di Felda, ganja, ketum, heroin, morfin, syabu. Ia bukan lagi isu terpencil, tetapi masalah nasional yang melibatkan semua tanah rancangan di seluruh negara,” katanya.

Abdullah yang juga Presiden Majlis Lembaga Pelawat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia mendakwa, permintaan tinggi dalam kalangan anak muda Melayu di kawasan tanah rancangan Felda menjadi antara punca utama dadah terus membanjiri komuniti ini.

“Ada individu luar yang masuk ke Felda semata-mata untuk menjual dadah kerana tahu ada pelanggan tetap di kawasan tersebut. Felda jadi lubuk. Mereka tahu kawasan, tahu jalan belakang. Kalau polis datang, senang lari. Port dibuka dan ditutup ikut keperluan,” dakwanya.

Sekumpulan penagih melepaskan gian di ladang kelapa sawit yang dijadikan ‘port’ harian.

Selain itu beliau mendakwa, penjualan dadah di kawasan tanah rancangan berleluasa kerana dilindungi pihak tertentu yang menjadikan Felda ‘port’ menjual bahan terlarang tersebut.

“Ini bukan perkara terselindung, sebelum ini pun Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mendedahkan pihaknya menahan pegawai kanan berpangkat superintendan, asisten superintendan dan deputi superintendan yang didapati terbabit dengan sindiket dadah,” dakwanya.

Beliau turut menyatakan bahawa budaya penyalahgunaan dadah di Felda diwarisi secara generasi. Ada yang mula mencuba sejak remaja, dan kini menjadi pengedar kecil-kecilan.

“Anak muda yang kerja luar, balik kampung bawa balik dadah. Lepas tu ajak kawan-kawan cuba. Ia jadi budaya yang diwarisi,” katanya.

Menurut beliau, kegiatan ini kebanyakannya berlaku secara ‘on the ground’, iaitu di kawasan lapang, ladang sawit atau rumah kosong yang dijadikan tempat transaksi. Port-port ini sukar dikesan kerana ia sentiasa berubah lokasi.

“Felda kini dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi, dengan komuniti yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan golongan belia. Terdapat peningkatan penglibatan dalam penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.

“Kegiatan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan komuniti, malah turut memberi kesan kepada pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan Felda,” ujarnya.

Tekanan hidup, masalah keluarga dorong penagihan dadah

Ketiadaan didikan agama, tekanan hidup dalam keluarga dan kemiskinan menjadi antara punca utama remaja di kawasan Felda terjebak dalam kancah penagihan dadah sejak usia muda.

Bagi Boy, 35, (bukan nama sebenar), pengalaman hidup dalam keluarga yang bergelut dengan ketagihan dan ketiadaan bimbingan rohani menjadikan dadah sebahagian daripada rutin harian sejak berusia 13 tahun.

Menurutnya, rumahnya sering menjadi tempat persinggahan penagih termasuk ayahnya sendiri.

“Saya tidak pernah diajar oleh ibu dan bapa saya tentang agama, jadi saya tak tahu nak beza mana baik, mana buruk,” katanya.

Tambah Boy, akses kepada bekalan dadah di kawasan tanah rancangan Felda begitu mudah dan sesiapa sahaja bebas membelinya.

“Kalau ada duit, sesiapa pun boleh beli. Tak kira umur, tak kira siapa. Barang itu memang ada, bekalan sentiasa ada, jarang putus,” ujarnya.

Atoi, 25, (bukan nama sebenar) berkata, dia mula mengambil pil dan syabu ketika masih di sekolah rendah, dipengaruhi oleh rakan-rakan sebaya.

“Saya banyak habiskan masa dengan kawan-kawan berbanding berada di rumah. Saya ikut sebab nak rasa diterima,” katanya.

Menurut Atoi, penglibatannya dengan dadah menyebabkan dia tercicir dalam pelajaran dan sering bergaduh dengan ahli keluarga.

“Saya jadi cepat marah, susah nak fokus. Mak ayah pun dah tak tahu nak buat apa,” ujarnya.

Seorang ‘pesakit narkotik’ terpaksa meminta bantuan rakan untuk menyuntik masuk dadah melalui urat di leher.

Selamatkan Felda daripada ancaman dadah

Sementara itu, Abdullah menegaskan, pendekatan pemulihan perlu diperluas, bukan sekadar kepada penagih, tetapi juga kepada keluarga mereka yang sering menjadi benteng pertama dalam proses pemulihan.

“Ramai penagih cuba berubah, tetapi keluarga sendiri pun menolak. Jiwa mereka sensitif, perlukan kasih sayang dan sokongan,” katanya.

Menurutnya, sokongan moral keluarga adalah faktor penentu kejayaan dalam usaha membebaskan diri daripada belenggu dadah.

Beliau turut menyeru agar program kesedaran dan intervensi diperluas ke semua kawasan tanah rancangan Felda dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti serta agensi-agensi kerajaan.

Menurutnya, usaha tersebut perlu digerakkan secara bersepadu agar setiap lapisan masyarakat dapat memainkan peranan bersama dalam membendung gejala tersebut.

“Felda perlu diselamatkan. Ini bukan soal dadah semata-mata, ini soal masa depan anak bangsa khususnya orang Melayu,” tegasnya.

Katanya, pendekatan menyeluruh penting kerana isu dadah bukan sekadar masalah individu, tetapi ancaman kepada keseluruhan komuniti Felda.

“Jika tidak ditangani dengan serius, ia boleh melemahkan struktur sosial, merosakkan masa depan generasi muda dan menjejaskan pembangunan ekonomi di tanah rancangan.

“Selain itu, pendekatan komuniti perlu diperkasa dengan melibatkan tokoh masyarakat, imam, guru dan pemimpin belia. Kehadiran mereka sebagai figura sokongan mampu mengembalikan keyakinan penagih yang cuba berubah, sekali gus mengurangkan stigma yang sering menghantui keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan juga boleh membuka ruang kepada kajian saintifik serta program-program latihan yang lebih berkesan.

“Pelajar dan penyelidik boleh turun padang untuk melaksanakan modul intervensi, memberi kaunseling serta membina jaringan sokongan psikososial yang mampan. Agensi kerajaan bersama NGO perlu memastikan program kesedaran tidak hanya bersifat kempen sementara, tetapi menjadi gerakan berterusan.

“Dengan strategi jangka panjang, Felda bukan sahaja dapat diselamatkan daripada ancaman dadah, malah mampu melahirkan masyarakat yang lebih kuat, berdaya tahan dan berwawasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN