Pahang nadi utama pembangunan Felda - Utusan Malaysia

Pahang nadi utama pembangunan Felda

WAN Rosdy Wan Ismail (empat dari kanan) menyampaikan piala keseluruhan acara kepada belia Felda Wilayah Jengka sempena Himpunan Generasi Felda Pahang dan Felda Motor Fest 2 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pemilihan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai lokasi sambutan Hari Peneroka Kebangsaan sempena ulang tahun ke-70 Felda pada 7 Julai depan menjadi penghormatan besar kepada warganya di Pahang yang mempunyai 115 tanah rancangan, terbesar di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan itu membuktikan peranan penting Pahang sebagai nadi utama pembangunan Felda sejak penubuhannya.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus mempertahankan kepentingan warga Felda termasuk menyelesaikan isu hak milik tanah peneroka demi memastikan legasi tanah rancangan tersebut terus kukuh untuk generasi kedua, ketiga dan seterusnya.

“Kita di Pahang bukan cakap kosong, kita buat kerja. Apa yang belum selesai, saya harap peneroka bersabar kerana kerajaan negeri sedang usahakan penyelesaiannya.

“Pada 21 Mei ini akan diadakan satu mesyuarat khas bagi tujuan penyelesaian isu Skim Tanah Rakyat Felda (STR). Insya-Allah kita berdoa supaya urusan itu dapat dimuktamadkan demi manfaat rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Generasi Felda Pahang dan Felda Motor Fest 2 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, sehingga kini, sebanyak 99 peratus suratan hak milik peneroka Felda di Pahang berjaya diselesaikan, manakala baki satu peratus lagi dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Katanya, kestabilan politik begitu penting bagi memastikan negeri ini terus berkembang sebagai hab ekonomi Pantai Timur dan menarik lebih banyak pelaburan.

Menurutnya, Pahang kini mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.7 peratus, mengatasi paras nasional 5.1 peratus, selain berjaya menurunkan kadar pengangguran daripada 2.2 peratus kepada 1.6 peratus.

“Angka ini tidak boleh menipu. Kalau saya cakap bohong, boleh rujuk Jabatan Perangkaan Malaysia. Pelabur ada pilihan. Kalau politik tidak stabil, mereka boleh pergi ke negeri lain. Tetapi Alhamdulillah sekarang Pahang menjadi pilihan dan kita mahu jadikan negeri ini hab ekonomi Pantai Timur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kelulusan bantuan RM20,000 bagi menjayakan program belia Felda dan memberi bayangan lebih banyak bantuan bakal disalurkan kepada rakyat jika kestabilan politik terus dipertahankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN