MARAN: Generasi baharu Felda diseru menggunakan kuasa politik secara bijaksana pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi melakukan pembetulan terhadap kesilapan lalu demi membentuk sebuah kerajaan yang mantap, kuat serta mampu menjamin kestabilan pembangunan negara dan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan muda di kawasan tanah rancangan perlu memahami bahawa kestabilan politik menjadi asas utama kepada kemajuan ekonomi, pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, generasi Felda hari ini tidak boleh lagi terbawa-bawa dengan sentimen politik yang akhirnya merugikan masyarakat peneroka sendiri serta menjejaskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang kerajaan.
“PRU16 perlu dijadikan medan terbaik untuk memperbetulkan keadaan supaya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dapat dibentuk demi masa depan rakyat serta negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Generasi Felda Pahang dan Felda Moto Fest 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka di sini petang semalam.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar termasuk kawasan Felda menerusi pelbagai inisiatif ekonomi, prasarana dan pembangunan belia.
Menurutnya, kesungguhan dan komitmen kerajaan Pahang berjaya meletakkan negeri ini beberapa langkah kehadapan berbanding beberapa negeri lain termasuk di Pantai Timur. – UTUSAN










