KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memaklumkan bahawa wang tunai dan barang kemas melimpah ke atas lantai sebuah unit kediaman di Pavilion Residence apabila beg-beg bagasi yang berisi barangan tersebut dibuka dalam satu serbuan pada 17 Mei 2018 berkait penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tambahnya, terdapat beg-beg yang mengandungi terlalu banyak barang kemas sehingga tidak mempunyai ruang kosong di dalamnya menyebabkan pasukan polis tidak dapat membuat penyenaraian barang kes dengan teliti dan mengira jumlah wang tunai yang terlibat.
“Jumlah keseluruhannya ialah 71 beg, 1 kotak plastik lutsinar dan 284 kotak yang mengandungi beg tangan. Beg-beg tersebut ialah beg bagasi dan jenis yang lazim digunakan untuk perjalanan. Pada mulanya, kami ingin mengira setiap satu barang kes. Tetapi sebaik sahaja kami membuka beberapa beg, (kami lihat) jumlah barang dalam setiap beg terlalu banyak sehingga melimpah di atas lantai.
“Apabila kami melihat beg berisi wang tunai, wang tersebut tidak diikat dengan kemas. Ia diikat longgar dan kandungannya (juga) melimpah ke atas lantai (apabila beg dibuka). Kami terpaksa memasukkan semula semua isi kandungan beg dan menutup zip beg tersebut.
“Begitu juga apabila kami membuka beg berisi barang kemas, beg tersebut penuh hingga ke atas (fill up to the brim),” kata bekas pegawai polis itu.
Tambah Amar Singh, berdasarkan penelitian yang dibuat wang-wang tunai dan barang-barang kemas dibungkus atau disimpan dengan tergesa-gesa.
Ini kerana wang-wang tunai tersebut berselerak di dalam beg dan tidak diikat atau disusun dengan kemas manakala barang kemas yang dimasukkan ke dalam bungkusan plastik juga berselerak dan diisi hingga beg tersebut penuh.
Daripada 71 beg yang ditemukan, Amar Singh memaklumkan terdapat 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai matawang dan denominasi, 25 beg berisi pelbagai jenis barang kemas, enam beg berisi cermin mata pelbagai jenama, satu beg berisi dompet pelbagai jenama, satu beg berisi bekas kotak (casing boxes) pelbagai jenama dan 1 kotak plastik mengandungi barang perhiasan.
Disebabkan jumlah barang kes yang terlalu banyak dan ketiadaan peralatan yang sesuai, Amar Singh, selepas berbincang dengan ketua pasukan serbuan yang lain memutuskan untuk membalut beg-beg berisi wang tunai dan barang kemas itu dan dihantar ke lokap di Bukit Aman.
“Kami tidak dapat mengira dan menyenaraikan semua barang kes, jumlahnya terlalu banyak. Bayangkan jika saya cuba menyenaraikannya, untuk satu rantai sahaja mungkin ada 12,000 unit. Terdapat terlalu banyak rantai.
“Kami (juga) tidak mempunyai mesin penimbang. Kami juga bukan pakar dalam menyenaraikan barang kemas. Kami bukan pakar untuk menentukan sama ada ia emas tulen, emas palsu, berlian atau sebaliknya. Kami tidak tahu. Jumlahnya terlalu banyak untuk kami senaraikan.
“Kedua, premis tersebut (juga) tidak mempunyai penyaman udara. Ketiga, kami tidak mempunyai peralatan untuk menimbang dan mengukur. Akhir sekali, kami tidak mempunyai kepakaran untuk menyenaraikan dan mengesahkan setiap item.
“Sehubungan itu, kami memutuskan untuk membalut beg-beg tersebut dengan pembalut plastik, seperti yang digunakan di lapangan terbang, bagi memastikan beg tersebut selamat dan integriti barang kes terpelihara. Semua barang kes kemudian dihantar ke lokap di Bukit Aman,”ujar Amar Singh ketika disoal oleh Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin.
Amar Singh berkata semua barang bukti diiringi turun daripada unit kediaman tersebut sehingga ke dalam lima kenderaan Black Maria yang ditutup rapat dan dikunci dengan selamat serta sebelum diiringi sehingga ke lokap.
“Setibanya di sana, kami mengikuti proses yang sama, mengiringi barang-barang secara berperingkat masuk ke dalam lokap. Hanya selepas semuanya dimeterai, barulah kami membenarkan semua orang beredar,”katanya.
Amar Singh yang bersara pada Disember 2018 memberi keterangan itu dalam perbicaraan dalam saman oleh syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan barangan kemas berjumlah RM67.4 juta (AS$14.57 juta).
Pada 27 Mac 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Rosmah untuk memasukkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 43 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak polis.
Menurut syarikat berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Dalam permohonannya untuk memulakan prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan, Rosmah menyatakan barang kemas yang dipertikaikan itu tidak berada dalam milikannya dan telah dirampas pihak berkuasa.
Sebagai defendan Rosmah boleh memulakan tindakan ini terhadap pihak ketiga yang bukan merupakan sebahagian daripada tuntutan utama, bagi menuntut sumbangan, ganti rugi atau sebarang remedi yang dituntut Global Royalty. – UTUSAN










