Payung gerai kerap disita, ubah hidup Saleha

Payung gerai kerap disita, ubah hidup Saleha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih segar dalam ingatan Saleha Abdullah, 58, ketika gerainya disita buat kali pertama oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kira-kira 15 tahun lalu

Beliau terduduk kaku tanpa berkata-kata, menahan air mata dengan hati remuk sambil memerhatikan payung dan peralatan lain yang menjadi tempatnya mencari rezeki diangkut satu persatu ke dalam lori.

Berkali-kali situasi dikejar PBT itu berlaku sepanjang dua tahun beliau menjaja nasi lemak di tepi jalan di Kampung Pandan, dari 2011 hingga 2013.

Namun, pengalaman pahit itulah yang akhirnya menjadi pembakar semangat buat pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Nasi Lemak Saleha Sdn. Bhd. ini untuk bangkit mengubah kehidupan.

“Lama-kelamaan saya terfikir, sampai bila mahu terus begini sedangkan hati tidak tenang dan modal pula semakin banyak keluar kerana terpaksa mengganti peralatan yang disita.

“Saya nekad berubah dengan mendaftarkan perniagaan, mencari premis sesuai dan memohon lesen perniagaan.

“Bila dikenang kembali, insiden dikejar PBT itu banyak mengajar saya untuk berniaga dengan lebih tersusun dan berhala tuju. Tanpanya, mungkin saya tidak mampu berada sampai ke tahap ini,” katanya kepada Seri.

Daripada penjaja jalanan, Saleha mengorak langkah berani mengusahakan kedai makan di Kampung Pandan dari 2014 hingga 2016 sebelum berpindah ke premis lebih besar di Sri Rampai pada 2017.

Beliau kemudian membuka cawangan kedua di Ampang dan sebuah dapur pusat.

Dalam masa sama, perniagaannya turut berkembang melalui tiga kiosk di stesen Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Pasar Seni dan Bangsar, di samping rangkaian 70 penjual semula di Lembah Klang termasuk di stesen minyak, kedai serta hospital.

Usaha gigihnya membuahkan hasil apabila Nasi Lemak Saleha dinobatkan sebagai antara 10 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terbaik pada Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024.

Malah, nasi lemaknya popular di Lembah Klang dan menjadi kegemaran ramai kerana dibungkus menggunakan daun pisang.

Bercerita lanjut, kata Saleha, minat berniaga mula dipupuk sejak kecil lagi apabila sering membantu ibunya di kedai runcit.

Selepas berkahwin, beliau meneruskan jejak yang sama sebelum beralih kepada perniagaan berasaskan makanan.

Tujuan utamanya berniaga adalah untuk meringankan beban suami dalam menyara keluarga dan memberikan kehidupan yang lebih selesa buat anak-anak.

“Sejak kecil saya sudah terbiasa hidup susah, kadangkala emak hanya mampu memasak bubur nasi untuk kami adik-beradik kerana beras di rumah tidak cukup.

“Alhamdulillah, Allah murahkan rezeki saya dalam berniaga dan apa sahaja yang saya usahakan, selalunya menjadi,” katanya.

Meskipun kehidupannya kini lebih selesa, Saleha tidak pernah melupakan asal-usulnya sebagai penjaja.

Setiap hari, beliau tetap turun ke dapur memasak bubur untuk dijual di restorannya, selain membuka gerai cucur udang di hadapan premis itu.

“Anak-anak kadang-kadang tegur, kenapa saya masih mahu bersusah-payah lagi, tetapi bagi saya itulah kebahagiaan.

“Saya seronok menjamu orang makan, lagipun tidaklah susah sambil memasak dan menjaga cucu di rumah pun saya masih boleh siapkan,” katanya.

Pinjam along, gadai emas 1 kg
Adat berniaga tidak pernah lari daripada turun naik, khususnya dalam aspek kewangan dan pusingan modal.

Ibu kepada empat anak ini turut berdepan dilema sama, lebih-lebih lagi apabila permohonan pembiayaan perniagaannya sering ditolak pihak bank.

Dalam keadaan terhimpit, beliau terpaksa mencari alternatif lain termasuk meminjam daripada along dan mendapatkan bantuan modal melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Selain bantuan tersebut, beliau turut berulang kali menggadaikan emas miliknya demi meneruskan kelangsungan perniagaan.

Terbaharu, ia dilakukan bagi membayar deposit pembelian bangunan restoran sedia ada di Ampang, hujung tahun lalu.

“Saya gadaikan hampir semua emas yang ada kira-kira satu kilogram (kg), kecuali cincin kahwin sahaja yang disimpan.

“Dulu, itulah rutin hidup saya apabila terdesak memerlukan duit segera untuk perniagaan, menampung perbelanjaan keluarga dan membayar segala hutang termasuk kereta yang pernah ditarik,” katanya.

Saleha berkata, hobi mengumpul emas sedikit sebanyak menjadi penyelamat dalam detik-detik sukar dan kecemasan, terutama ketika dihimpit masalah kewangan.

Catat duit dalam buku 555
Walaupun hanya ‘berguru’ dengan ibunya dalam aspek perniagaan, beliau sangat berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

Baginya, setiap urusan kemasukan dan pengeluaran duit perlu dilakukan secara berhemah serta mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Antara amalannya termasuk mencatat setiap transaksi dalam buku 555 sebagai rujukan utama untuk memastikan aliran duit sentiasa teratur dan terkawal.

“Sejak mula berniaga, setiap kali menerima hasil jualan saya tidak terus memasukkan semuanya ke dalam bank, sebaliknya diasingkan mengikut keperluan.

“Bila hendak membeli apa-apa, saya lebih tenang kerana semua peruntukan sudah disusun tanpa perlu mengganggu duit lain.

“Saya sudah sebati dengan cara lama ini, tetapi kadangkala anak-anak kurang faham kerana mereka lebih terbiasa kaedah moden dan berpendapat semua hasil jualan perlu disimpan terus dalam akaun bank,” katanya.

Kini, empayar perniagaannya diteruskan empat anaknya iaitu Muhammad Rizal Mat Isa, 37, selaku Ketua Pegawai Operasi (COO); Intan Norazrina, 36, sebagai Pengarah Sumber Manusia diikuti Muhammad Nazri, 35, (Pengarah Dapur Pusat) dan Muhammad Nazrin, 30, di restoran.

Jaga perut suami
Kesibukan menguruskan perniagaan bukan alasan untuknya mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Saleha tetap memastikan suami, Mat Isa Abdul Rahman, 62, dan anak-anak menikmati masakan air tangannya.

“Saya percaya antara rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah menjaga perut suami, tambahan pula dia memang tidak suka makan di luar.

“Dulu, masa awal perkahwinan saya pernah membeli makanan, tetapi suami kurang gemar dan sejak itu saya memasak sendiri,” katanya.

Saleha berkata, kejayaan yang dicapai hari ini adalah berkat sokongan padu suami yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.

Malah, sejak 15 tahun lalu, suaminya sendiri memasak nasi lemak dan datang seawal 2 pagi ke restoran setiap hari.

Selain itu, katanya, selang dua minggu sekali, mereka sekeluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama.

Tradisi itu bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah menjadi ruang meleraikan sebarang perselisihan faham atau konflik sesama ahli keluarga.

“Kami semua bekerja bersama, jadi kadang-kadang timbul salah faham sesama anak-anak, tetapi setiap kali saya ajak makan malam pada Isnin, semua akan pulang ke rumah atau lokasi ditetapkan.

“Di situlah segala kekusutan selesai dan rasa merajuk atau tidak puas hati hilang begitu sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN