Dong Zong gesa kerajaan perincikan dasar UEC+2

Dong Zong gesa kerajaan perincikan dasar UEC+2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai dasar UEC+2 berkaitan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing berkata, pihaknya kesal apabila kerajaan hanya membenarkan pemegang UEC yang lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon empat kursus berkaitan bahasa serta pengajian Cina di tiga universiti awam sahaja.

“Sewaktu Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri telah menyatakan secara terbuka bahawa pemegang UEC yang layak tidak terhad pilihannya kepada kursus-kursus terkait bahasa semata-mata dan boleh memohon ke mana-mana kursus yang bersesuaian seperti perakaunan.

“Namun begitu, kenyataan beliau baru-baru ini jelas bercanggah dengan kenyataan rasmi terbaharu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Situasi ‘satu dasar, dua nada’ bagi sebuah dasar yang sebegini penting adalah amat mengelirukan.

“Oleh itu, kerajaan perlu segera memperincikan dasar ini secara konkrit demi melenyapkan kemusykilan semua pihak termasuk skop kursus yang boleh dimohon oleh pemegang UEC pada peringkat ini, kaedah pengiraan merit serta saluran pendaftaran,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat Dong Zong hari ini.

Sebelum ini, isu UEC kembali menjadi pertikaian pelbagai pihak selepas KPT mengumumkan bahawa lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Mereka yang memiliki SPM boleh memohon program ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program yang dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-Sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (Dakwah).

Bagi lepasan SMPC yang memiliki UEC pula, antara program yang boleh disertai ialah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan sarjana muda bahasa Cina dengan pendidikan.

Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengulas lanjut, Yew Sing berkata, kenyataan KPT itu menimbulkan jurang besar berbanding harapan masyarakat Cina yang mahukan laluan ke IPTA secara menyeluruh.

“Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) amatlah kesal dengan keputusan tersebut. Kepelbagaian laluan kemasukan ke IPTA tidak harus dipolitikkan.

“Kami secara tegas ingin mengingatkan semua pihak bahawa dasar yang terkait adalah berkenaan penyediaan saluran kemasukan yang pelbagai ke IPTA. Ini merupakan elemen penting dalam skop reformasi dasar pendidikan tinggi dan bukannya berkenaan isu pengiktirafan penuh UEC.

“Isu pengiktirafan penuh UEC adalah lebih luas dan harus merangkumi pengiktirafan terhadap kedudukan pendidikan pelbagai aliran serta pengagihan sumber negara secara adil, termasuklah kelayakan bagi tujuan pelantikan dalam perkhidmatan awam dan permohonan biasiswa tajaan kerajaan.

“Kedua-dua perkara ini tidak harus dicampuradukkan dan tidak patut dipolitikkan sama sekali oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN