UEC: Malaysia perlu pendekatan baharu

UEC: Malaysia perlu pendekatan baharu

ISU mengenai UEC dan pendidikan tahfiz perlu dialihkan daripada pertentangan ideologi kepada penyelesaian dasar yang lebih pragmatik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali menjadi perhatian awam ketika Malaysia sedang memasuki fasa baharu reformasi pendidikan tinggi negara.

Namun persoalan besar hari ini bukan lagi sekadar sama ada UEC perlu diiktiraf atau ditolak. Isu sebenar ialah bagaimana Malaysia mahu mengurus kepelbagaian sistem pendidikan tanpa menjejaskan agenda perpaduan nasional.

Dalam realiti semasa, landskap pendidikan negara tidak lagi bersifat tunggal. Selain sekolah kebangsaan dan vernakular, sistem pendidikan Malaysia kini turut berkembang melalui institusi tahfiz moden, pendidikan antarabangsa, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelbagai laluan alternatif yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Keadaan ini meletakkan kerajaan berdepan cabaran besar: Bagaimana memastikan kepelbagaian pendidikan menjadi kekuatan nasional, bukannya sumber polarisasi sosial.

Golongan yang menyokong pengiktirafan UEC melihat langkah itu sebagai keperluan pragmatik bagi memastikan pelajar daripada aliran tersebut mendapat akses pendidikan tinggi dan peluang mobiliti sosial yang lebih adil.

Mereka juga berhujah bahawa graduan UEC telah lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan mampu bersaing di peringkat global.

Sebaliknya, pihak yang berhati-hati terhadap pengiktirafan penuh membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi jangka panjang terhadap integrasi sosial dan pembentukan identiti nasional sekiranya sistem pendidikan bergerak terlalu jauh daripada naratif kebangsaan bersama.

Menariknya, dilema hampir sama turut berlaku dalam perkembangan pendidikan tahfiz.

Hari ini, banyak institusi tahfiz moden mula mengintegrasikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), TVET dan pendidikan profesional bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu bersaing dalam ekonomi masa depan.

Transformasi ini menunjukkan bahawa pendidikan alternatif sebenarnya boleh bergerak seiring dengan agenda pembangunan negara jika disepadukan secara strategik.

Dalam konteks ini, perdebatan mengenai UEC tidak lagi wajar dilihat secara hitam putih.

Sebaliknya, Malaysia memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih matang dan inklusif seperti yang digariskan dalam aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan sistem pendidikan lebih fleksibel, pembangunan bakat masa depan dan pengukuhan kesepaduan sosial.

Kepelbagaian pendidikan tidak semestinya bercanggah dengan agenda nasional sekiranya semua aliran berkongsi nilai teras yang sama.

Antara asas bersama yang perlu diperkukuh ialah penguasaan bahasa Melayu, kefahaman sejarah negara, penghayatan Perlembagaan Persekutuan, pendidikan sivik serta komitmen terhadap Rukun Negara dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni.

Dalam masyarakat majmuk moden, perpaduan lebih realistik dibina melalui perkongsian nilai bersama walaupun rakyat datang daripada latar pendidikan yang berbeza.

Justeru, isu UEC dan pendidikan tahfiz perlu dialihkan daripada pertentangan ideologi kepada penyelesaian dasar yang lebih pragmatik dan berorientasikan masa depan.

Fokus sebenar bukan siapa lebih dominan dalam sistem pendidikan negara, tetapi bagaimana semua aliran pendidikan dapat menyumbang kepada pembentukan warga Malaysia yang berdaya saing, mempunyai identiti nasional yang kukuh dan mampu menghadapi cabaran global.

Cabaran terbesar negara bukan sekadar soal pengiktirafan UEC atau pemerkasaan tahfiz, cabaran sebenarnya sama ada sistem pendidikan Malaysia mampu melahirkan generasi yang kekal berakar pada identiti negara, tetapi cukup terbuka untuk bersaing dalam dunia yang semakin global dan kompleks. – UTUSAN

PROFESOR DR. ISMI ARIF ISMAIL
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN