Jangan pinggirkan keadilan dalam pendidikan

Jangan pinggirkan keadilan dalam pendidikan

SISTEM pendidikan negara perlu membina titik pertemuan antara pelbagai aliran pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan syarat kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kembali menjadi perhatian apabila kerajaan menetapkan pelajar perlu memperoleh kepujian bahasa Melayu dan Sejarah untuk melanjutkan pengajian IPTA.

Bahasa Melayu bukan sekadar subjek peperiksaan tetapi bahasa kebangsaan yang menjadi pengikat perpaduan rakyat. Begitu juga Sejarah yang berperanan membentuk jati diri, memahami pembentukan negara serta menghargai perjalanan bangsa.

Oleh itu, penguasaan kedua-dua bidang ini wajar menjadi sebahagian daripada syarat kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam sistem pendidikan awam.

Apa yang menjadi perhatian masyarakat ialah soal keadilan dalam pendidikan. Pelajar sekolah harian biasa berusaha keras memenuhi pelbagai tuntutan akademik bagi mendapatkan tempat di universiti awam.

Mereka menduduki banyak subjek, menghadiri kelas tambahan serta berusaha meningkatkan pencapaian demi mencapai impian dalam bidang pilihan.

Ramai ibu bapa turut berkorban masa, tenaga dan kewangan untuk membantu anak-anak mereka bersaing. Justeru, masyarakat berharap setiap laluan pendidikan yang menuju ke IPTA mengambil kira prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Perkara ini bukan bermaksud menolak mana-mana aliran pendidikan. Sebaliknya, masyarakat mahu memastikan semua pelajar yang mendapat manfaat daripada institusi negara memahami asas penting sebagai rakyat Malaysia, termasuk bahasa kebangsaan dan sejarah negara.

Perhatian juga perlu diberikan terhadap institusi tahfiz dalam melahirkan generasi yang mempunyai asas agama dan nilai murni.

Namun, pendidikan hari ini memerlukan keseimbangan antara ilmu agama dan ilmu akademik agar pelajar mempunyai peluang lebih luas dalam bidang profesional.

Pelajar tahfiz juga perlu diberikan ruang untuk mengembangkan potensi dalam bidang seperti sains, teknologi, perubatan dan kejuruteraan.

Pendidikan agama tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk individu yang berilmu dan berakhlak.

Sistem pendidikan negara perlu membina titik pertemuan antara pelbagai aliran pendidikan. Kepelbagaian boleh diraikan, tetapi semua pelajar perlu mempunyai asas bersama yang membentuk identiti nasional.

Bahasa Melayu, kefahaman sejarah dan semangat kenegaraan perlu menjadi elemen yang menyatukan rakyat.

Pendidikan tidak seharusnya menjadi medan persaingan politik atau perdebatan berpanjangan.

Semua pihak perlu melihat pendidikan sebagai amanah besar untuk membina masa hadapan generasi akan datang. Dasar pendidikan perlu berasaskan keadilan, keseimbangan dan kepentingan negara. – UTUSAN

AZLIZA AZIZUL
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN