UEC sumbang kepada perpecahan

UEC sumbang kepada perpecahan

DR. ANUAR AHMAD. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PAKAR pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DR. ANUAR AHMAD menegaskan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sama ada secara penuh, separa atau atas alasan “membuka laluan” tetap akan memberi kesan besar terhadap struktur masyarakat Malaysia.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) UKM itu berkata, jika UEC diiktiraf, negara dikhuatiri akan mempunyai dua aliran pendidikan yang terpisah sepenuhnya, iaitu aliran kebangsaan dan aliran bukan kebangsaan.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI, beliau berkata, keadaan ini boleh menyebabkan pelajar membesar dalam kelompok masing-masing, sedangkan pendidikan sepatutnya menjadi alat penyatuan masyarakat, bukannya ruang yang memperkukuhkan pemisahan sosial.

UTUSAN: Pihak kerajaan maklum bukan iktiraf UEC tetapi hanya “membuka laluan”. Adakah ini akan memberi kesan kepada dasar pendidikan kebangsaan?
ANUAR: Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Itu realiti yang tidak boleh dinafikan. Kita mempunyai pelbagai etnik, budaya dan bahasa. Oleh sebab itu, sejak awal kemerdekaan lagi para pemimpin negara cuba mencari kaedah terbaik untuk menyatukan rakyat dalam masa yang sama meraikan kepelbagaian yang wujud. Dari situlah lahirnya sekolah jenis kebangsaan.

Selama hampir 70 tahun, sistem ini menjadi asas kepada pengurusan masyarakat majmuk di Malaysia. Apabila timbul cadangan untuk mengiktiraf UEC, ia menjadi isu kerana sistem UEC berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Berbeza dengan sekolah jenis kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan yang masih menggunakan kurikulum kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan peperiksaan kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

UEC pula menggunakan kurikulum sendiri, bahasa Mandarin dan peperiksaan sendiri yang dibangunkan oleh Dong Zong di dalam negara ini.

Persoalannya, bagaimana kita mahu mengiktiraf satu sistem yang tidak memenuhi asas utama dasar pendidikan kebangsaan?

Jika kita mengiktiraf UEC sama ada secara penuh, separa atau atas nama “membuka laluan”, ia tetap mencabar dasar pendidikan kebangsaan yang telah dimuktamadkan berdasarkan Perlembagaan dan Akta Pendidikan.

Sebab itu, saya tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC kerana isu ini bukan soal kaum tetapi soal mempertahankan dasar pendidikan negara.

Andai UEC diiktiraf, sistem pendidikan negara akan menjadi dualistik. Akan ada dua aliran pendidikan yang terpisah sepenuhnya; satu aliran kebangsaan dan satu lagi aliran bukan kebangsaan, kedua-duanya terpisah.

Anak-anak akan membesar dalam kelompok masing-masing dari sekolah rendah hingga ke universiti. Mereka belajar kurikulum berbeza, sejarah berbeza dan hidup dalam lingkungan sosial berbeza. Akhirnya masyarakat kita akan semakin terpisah dan perpaduan negara akan semakin sukar dibina.

Akhirnya setiap kali ada isu di negara kita, debat akan berpanjangan sebenarnya, jadi UEC ini hanya akan menyumbang kepada perpecahan.

Sebab itu, isu pengiktirafan UEC bukan sekadar isu pendidikan tetapi isu masa depan negara dan pembentukan masyarakat Malaysia pada jangka panjang.

Di pihak yang menyokong UEC, mereka kata pelajar UEC juga mengambil SPM. Jadi kenapa masih tidak mahu mengiktiraf UEC?
Itu sebenarnya persoalan utama. Jika mereka sudah mempunyai SPM yang memang diiktiraf sepenuhnya untuk memasuki institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), mengapa perlu mengiktiraf satu lagi sijil? Apa keperluannya? SPM sudah cukup untuk digunakan dalam sistem pendidikan negara.

Kerajaan sejak 1975 memang membenarkan UEC dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak pernah mengiktiraf sijil tersebut kerana kita sudah ada sistem pendidikan sendiri dan peperiksaan sendiri.

Membenarkan satu sistem beroperasi tidak bermaksud kita perlu mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Kalau UEC diiktiraf, kesannya nanti lebih ramai pelajar bukan Melayu akan memilih sekolah persendirian Cina dan mengambil UEC kerana mereka belajar dalam bahasa ibunda sendiri.

Akhirnya akan berlaku pemisahan pendidikan; pelajar Melayu berada dalam aliran kebangsaan manakala pelajar bukan Melayu berada dalam aliran UEC. Ini akan menjejaskan perpaduan kerana pendidikan sepatutnya menjadi alat penyatuan masyarakat.

Ada pihak melihat kerajaan hari ini terlalu bertolak ansur sehingga mudah ditekan oleh persatuan seperti Dong Zong?
Salah satu sebab perkara ini berlaku ialah kerana pendidikan terlalu dipolitikkan. Politik selalunya bersifat pragmatik dan berorientasikan kemenangan pilihan raya. Bila pendidikan dijadikan alat politik, maka tuntutan seperti ini mudah dilayan demi kepentingan undi.

Sebab itu, ahli akademik dan masyarakat perlu bersuara. Kita perlu menjelaskan implikasi jangka panjang terhadap negara. Kesan isu seperti ini bukan lima tahun akan datang tetapi mungkin 50 tahun akan datang terhadap bentuk masyarakat kita.

Jika setiap kaum terus berada dalam kelompok sendiri, akhirnya perpaduan dan toleransi akan semakin lemah.

Ada pihak meminta kerajaan mengkaji semula keputusan berkaitan UEC. Adakah keputusan ini perlu ditarik balik?
Kerajaan masih perlu mengkaji semula kerana ini melibatkan sejarah dan masa depan negara. Dasar pendidikan dan Akta Pendidikan secara jelas menyatakan bahawa UEC tidak selari dengan sistem pendidikan kebangsaan.

Jadi bagaimana kerajaan boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah dengan dasar dan akta sedia ada?

Jika kerajaan mahu mengubah perkara itu, sepatutnya bawa dahulu ke Parlimen dan pindaan dibuat mengikut prosedur. Kalau tidak, rakyat akan melihat kerajaan sendiri tidak menghormati dasar dan undang-undang yang dibina.

Menarik balik keputusan bukan bermaksud kerajaan lemah. Sebaliknya, ia menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat.

Ada yang mengatakan isu sebenar bukan bahasa atau UEC tetapi kualiti sekolah kebangsaan. Pandangan dalam isu ini?
Saya setuju. Isu paling besar sebenarnya ialah kualiti pendidikan. Kalau sekolah kebangsaan berkualiti tinggi, ibu bapa akan berlumba-lumba menghantar anak ke sana tanpa mengira kaum.

Masalah sekarang ialah kelas terlalu padat, guru tidak cukup, kemudahan tidak memuaskan dan beban kerja guru terlalu tinggi.

Kita perlu tingkatkan kualiti sekolah kebangsaan secara serius. Bayangkan jika sekolah kita mempunyai makmal terbaik, guru berkualiti, kelas kecil dan sistem pembelajaran yang baik, semua orang akan memilih sekolah itu.

Hari ini ramai ibu bapa menghantar anak ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa bukan semata-mata kerana bahasa tetapi kerana mereka melihat aspek kualiti.

Dari segi silibus, adakah sistem pendidikan kita masih relevan dengan zaman sekarang?
Pada saya, banyak aspek sudah ketinggalan. Dunia hari ini bercakap tentang kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, kreativiti, inovasi dan literasi kewangan tetapi sistem kita masih terlalu berorientasikan peperiksaan dan hafalan.

Pelajar belajar terlalu banyak perkara secara permukaan tetapi tidak mendalam. Mereka tidak cukup didedahkan dengan penyelesaian masalah, komunikasi dan kemahiran dunia sebenar. Akibatnya, bila masuk universiti atau alam pekerjaan, ramai yang sukar menyesuaikan diri.

Selain itu, kelas terlalu besar menyebabkan pembelajaran berasaskan aktiviti sukar dilaksanakan. Dalam satu kelas yang mempunyai 40 hingga 50 pelajar, guru memang sukar memberi perhatian individu kepada murid.

Kenapa dasar pendidikan di Malaysia sering berubah-ubah?
Pendidikan memang perlu berubah mengikut zaman, tetapi perubahan mesti dibuat secara terancang dan berasaskan kajian. Masalah di Malaysia ialah banyak keputusan dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian yang kukuh.

Bila dasar dibuat tanpa data yang jelas, akhirnya berlaku banyak pusingan-U. Hari ini sesuatu dasar diumumkan, beberapa tahun kemudian ditarik balik. Ini berlaku kerana keputusan lebih dipengaruhi tekanan dan suara pihak tertentu berbanding kajian saintifik.

Sebab itu, hubungan antara kerajaan dan ahli akademik perlu diperkukuhkan supaya dasar pendidikan dibuat berdasarkan penyelidikan dan data, bukannya keputusan politik semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN