ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan lagi sekadar perdebatan pendidikan, tetapi telah berkembang menjadi polemik politik yang menyentuh asas pembinaan negara bangsa Malaysia.
Setiap kali menjelang pilihan raya, isu ini kembali diangkat oleh DAP serta kumpulan pendesak pendidikan vernakular atas nama hak pendidikan, kepelbagaian budaya dan keadilan kepada pelajar sekolah persendirian Cina.
Namun di sebalik slogan tersebut, persoalan lebih besar yang perlu diteliti ialah sama ada pengiktirafan UEC benar-benar selari dengan kepentingan nasional atau sekadar memenuhi tuntutan politik kelompok tertentu.

UEC diwujudkan pada 1975 oleh Dong Jiao Zong sebagai sistem peperiksaan bagi sekolah menengah persendirian Cina. Kewujudannya bukan dibangunkan dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan, sebaliknya bergerak sebagai sistem alternatif di luar acuan pendidikan nasional.
Silibusnya berbeza, bahasa pengantarnya berbeza dan struktur penilaiannya juga tidak tertakluk secara langsung kepada sistem pendidikan negara.
Atas sebab itu, tuntutan supaya UEC diiktiraf secara rasmi perlu dinilai secara kritikal dan bukan hanya dilihat melalui lensa politik kepartian atau tekanan sentimen kaum.
Persoalan paling asas ialah kedudukan UEC yang tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang sistem pendidikan negara sejak merdeka.
Melalui Akta Pendidikan 1996, Malaysia membentuk satu kerangka pendidikan nasional bagi memastikan sistem pendidikan bergerak secara seragam, inklusif dan berpaksikan identiti kebangsaan.
Jika UEC diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam, negara secara tidak langsung mengabsahkan kewujudan dua sistem pendidikan dengan falsafah berbeza.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan agenda penyatuan nasional yang selama ini cuba dibentuk melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Isu bahasa juga tidak boleh dipandang ringan. Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, tetapi merupakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam sistem UEC, bahasa Melayu tidak diletakkan sebagai bahasa utama pengantar seperti dalam sistem kebangsaan.
Apabila pengiktirafan diberikan tanpa syarat yang jelas, mesej yang dihantar amat berbahaya; seolah-olah penguasaan bahasa kebangsaan bukan lagi asas penting untuk memasuki institusi awam negara.
Sedangkan sejarah membuktikan bahawa bahasa ialah instrumen integrasi nasional paling penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Lebih membimbangkan, pengiktirafan UEC berpotensi mengukuhkan lagi polarisasi pendidikan mengikut garis kaum. Sejak dahulu, Malaysia berdepan cabaran integrasi sosial akibat kewujudan sistem pendidikan yang terpisah-pisah.
Dalam keadaan kerajaan sedang berusaha memperkukuh perpaduan melalui sekolah kebangsaan dan kurikulum nasional, UEC pula berkembang dalam ekosistem yang berasingan daripada arus perdana negara.
Maka, mengiktiraf UEC bukan sekadar mengiktiraf satu sijil peperiksaan, tetapi turut mengabsahkan model pendidikan yang semakin menjauh daripada aspirasi pembinaan negara bangsa.
Pada masa sama, timbul persoalan berkaitan standard akademik dan kesetaraan penilaian. UEC dikendalikan oleh pertubuhan pendidikan swasta dan bukannya badan rasmi negara seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia.
Kurikulumnya juga tidak tertakluk secara langsung kepada kawal selia nasional. Dalam konteks ini, timbul persoalan sama ada standard penilaian UEC benar-benar setara dengan SPM, STPM atau matrikulasi yang dibangunkan melalui sistem nasional yang lebih tersusun, seragam dan dikawal ketat.
Aspek keadilan kepada pelajar aliran kebangsaan juga perlu diberi perhatian. Pelajar SPM diwajibkan memenuhi syarat nasional seperti lulus bahasa Melayu dan Sejarah sebelum layak melanjutkan pengajian ke institusi awam.
Sebaliknya, syarat tersebut tidak diletakkan pada tahap yang sama dalam sistem UEC. Jika pengiktirafan diberikan tanpa penyelarasan menyeluruh, ia akan mewujudkan persepsi bahawa terdapat laluan berbeza kepada kelompok tertentu untuk memasuki universiti awam tanpa memenuhi syarat nasional yang dikenakan kepada majoriti pelajar lain.
Universiti awam dibina atas asas sistem pendidikan kebangsaan. Bahasa Melayu menjadi medium utama, manakala falsafah pendidikannya berpaksikan kerangka nasional.
Pengiktirafan UEC tanpa integrasi penuh terhadap syarat kebangsaan boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalam proses meritokrasi dan kemasukan ke universiti awam. Dalam jangka panjang, ia berpotensi menghakis asas sistem pendidikan nasional yang dibangunkan sejak sekian lama.
Apa yang lebih penting, pendidikan bukan sekadar soal akademik atau peluang pekerjaan. Pendidikan ialah instrumen utama pembentukan identiti nasional.
Negara bangsa yang kukuh memerlukan rakyat yang berkongsi nilai bersama, memahami sejarah negara dan berinteraksi dalam kerangka identiti kebangsaan yang sama.
Kebimbangan utama terhadap UEC ialah kewujudannya yang berkembang di luar objektif pembinaan negara bangsa. Apabila pengiktirafan diberikan tanpa reformasi menyeluruh, negara sedang membuka ruang kepada pembentukan identiti yang semakin terpisah daripada arus nasional.
Dalam konteks politik semasa, rakyat juga perlu melihat tuntutan pengiktirafan UEC secara lebih objektif. Isu ini sering diangkat menjelang pilihan raya sebagai agenda politik untuk meraih sokongan pengundi tertentu, khususnya masyarakat Cina bandar.
Hakikatnya, majoriti pelajar UEC sudah mempunyai akses ke universiti swasta dan institusi luar negara. Maka persoalannya, adakah pengiktirafan ini benar-benar keperluan mendesak negara atau sekadar simbol politik untuk memuaskan tuntutan kelompok berkepentingan?
Malaysia tidak menolak kepelbagaian budaya dan bahasa. Namun, kepelbagaian tidak boleh sampai mengorbankan asas pembinaan negara bangsa.
Dalam masyarakat majmuk yang masih berdepan cabaran integrasi sosial, pendidikan seharusnya menjadi jambatan penyatuan dan bukannya tembok pemisahan.
Kerajaan perlu bertegas bahawa sebarang pengiktirafan akademik mesti berpaksikan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kedudukan bahasa Melayu serta aspirasi perpaduan nasional.
Tuntutan politik boleh berubah mengikut musim pilihan raya, tetapi kepentingan negara mesti sentiasa menjadi keutamaan. – UTUSAN
DR. Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM.










