WALAUPUN kerajaan menegaskan bahawa sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) tidak diiktiraf dalam pengumumannya itu, ia sebaliknya hanya memberikan laluan agar lepasan sijil itu dapat ikut memohon tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), adalah sangat mengelirukan. Ini kerana sijil itu kini dipersetuju oleh kerajaan untuk boleh diterima bagi diambil kira bakal ke IPTA.
Dalam hal ini, lepasan sijil UEC dibenarkan memohon kursus yang ditawarkan di kesemua IPTA mulai tahun ini. Meskipun ditegaskan ia bukan sesekali pengiktirafan, sijil UEC kini sudah diakui untuk boleh digunakan dalam permohonan ke IPTA oleh lepasan UEC, yang sebelum ini tidak pun diizinkan.
Sehubungan permohonan ini yang perlu dilakukan secara talian, ia memerlukan kelulusan penuh SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sebagai syarat paling asas apabila ingin ke IPTA.
Tanpa memenuhi syarat asas ini, seseorang warganegara itu tidak boleh sesekali memohon walaupun memiliki keputusan cemerlang pada pendidikan pasca-SPM, antaranya STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia).
Sebenarnya permohonan ke IPTA yang menggunakan SPM semata-mata adalah terhad sekali. Ia hanya untuk kursus asasi dan diploma. Pun begitu, ia terpakai pada hanya sebilangan kecil kursus tahap sarjana muda.
Dalam pada ini, secara umumnya kesemua kursus di IPTA adalah pada tahap sarjana muda pada pengajian prasiswazah.
Untuk yang tidak mempunyai SPM penuh, pengecualian diberikan agar hanya memperoleh kepujian untuk mata pelajaran bahasa Melayu dan lulus bagi sejarah. Inilah yang sebenarnya diberikan kepada lepasan UEC dalam pengumuman tentang laluan yang diberikan itu.
Untuk lepasan UEC yang turut memiliki SPM penuh, ia langsung tidak menjadi isu. Ini kerana mereka ini seperti lain-lain yang mempunyai SPM penuh boleh terus memohon apa-apa juga kursus di IPTA yang kelayakannya hanya SPM.
Dengan kata lain, lepasan UEC ini menggunakan SPM yang ada pada mereka dan bukannya sijil UEC.
Bagi lepasan UEC ini, mereka ikut dibenarkan memohon apa-apa jua kursus yang ditawarkan yang kelayakannya adalah STPM. Ini kerana UEC kini sudah dipersetuju dan diakui untuk dibenarkan diterima untuk dipertimbang setara dengan STPM.
Hal ini begitu jelas pada pengumuman kerajaan itu, iaitu mereka ini boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan di kesemua IPTA.
Walaupun begitu, seperti pada kelazimannya semenjak sekian lama, sesuatu permohonan ke IPTA itu adalah tertakluk kepada perkiraan merit yang ditetapkan oleh universiti yang kursusnya dipohon itu. Dalam hal ini, meritokrasi dalam kuota adalah antara formula untuk sebarang penawaran.
Dengan kata lain, dengan pengumuman oleh kerajaan itu, sijil UEC kini boleh diguna pakai sebagai setara dengan STPM. Dengan ini, ia boleh digunakan untuk tujuan permohonan pelbagai kursus di IPTA yang kelayakan masuknya adalah STPM.
Manakala bagi lepasan UEC yang tidak memiliki SPM penuh, mereka ini hanya diperlukan mempunyai gred minimum yang dikehendaki pada dua mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.
Sehubungan ini, dua mata pelajaran SPM ini hendaklah yang diuruskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan diperaku oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bagi mereka ini, tawaran kursusnya terhad sekali dan di hanya tiga IPTA sahaja. Sehubungan ini, mereka ini boleh hanya dipertimbang untuk mengikuti program tertentu di IPTA yang telah dikenal pasti. Pun begitu, kemasukannya adalah tertakluk kepada kesesuaian pengajian dan keperluan semasa.
Antaranya ialah untuk pengajian bahasa, linguistik dan sastera Cina, sama ada secara tulen mahupun dalam kerangka pendidikan.
Sebenarnya pengumuman bertulis daripada kerajaan itu begitu terang lagi bersuluh bahawa kini sijil UEC diambil kira sebagai setara dengan STPM yang merupakan kelayakan utama.
Malah sebagai kelayakan yang satu-satunya dalam permohonan ke IPTA untuk semua program pada tahap sarjana muda.
Sesungguhnya dalam kontroversi pengiktirafan sijil UEC ini, jangan kita semua sesekali hanya tertumpu kepada SPM, sama ada yang penuh atau tidak penuh.
Ini kerana ia hanya merupakan syarat paling asas untuk memohon tempat di IPTA yang rata-ratanya memerlukan STPM sebagai kelayakan masuknya.
Perkara utama lagi penting di sini ialah sijil UEC sudah pun diiktiraf oleh kerajaan. Walaupun bertegas ia bukan pengiktirafan, ia sebenarnya adalah pengiktirafan, malah dalam erti kata yang sebenar-benarnya lagi.
Sehubungan ini, pengiktirafan sijil UEC itu adalah perkara benar yang betul-betul telah berlaku. Dalam hal ini, kerajaan menerima dan membenarkannya untuk diguna pakai dalam memohon tempat di IPTA. Sebaliknya ia langsung tidak diterima dan dibenarkan sebelum ini.
Walaupun perkataan pengiktirafan tidak pun mahu digunakan, ia digantikan dengan ungkapan “laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA”.
Penggantian ini tidak dapat dinafikan adalah bentuk bahasa yang sengaja digunakan, untuk antaranya mengaburi, menyembunyi, mengalih dan menterbalikkan makna sebenar pada perkataan pengiktirafan.
Juga tidak dapat dinafikan penggunaan perkataan laluan adalah untuk memanipulasi tanggapan. Ia diharapkan dapat melunakkan pendengaran dengan menjadikan sesuatu yang penuh kontroversi dan sangat bermasalah, merdu di halwa telinga.
Dengan ini, harapannya adalah ia dapat kemudiannya diterima baik oleh minda.
Tidak dapat juga dinafikan bahawa perkataan laluan yang bermakna pelan dan tindakan untuk mencapai sesuatu tujuan, diguna pakai sebagai eufemisme. Ia adalah bentuk bahasa yang dipilih khas untuk mengurangkan, jika boleh mengelakkan realiti sebenar yang ada pada perkataan pengiktirafan.
Juga ia mungkin sengaja dipilih untuk tujuan menimbulkan kekeliruan seperti yang sedang berlaku. Bukan sahaja masyarakat umum keliru, pihak yang diberikan laluan itu juga bingung.
Dengan penggunaan perkataan laluan, bukan sahaja makna asal pengiktirafan itu mahu dialihkan. Juga ingin menjadikan makna perkataan laluan lebih bertimbang rasa selain penuh keprihatinan.
Justeru mempunyai kesignifikannya yang agam, di samping mempunyai keupayaan memindahkan pandangan negatif kepada yang positif.
Apa-apa jua perkataan yang diguna pakai, khususnya laluan, natijahnya ialah sijil UEC sudah diiktiraf. Dalam hal ini, perkataan laluan adalah kontradiksi yang bukan sahaja nyata, juga yang total untuk mengungkapkan makna pengiktirafan.
Ini kerana sijil UEC diterima sepenuhnya setelah dipersetuju untuk diakui. Dalam hal ini, ia dibenar digunakan untuk memohon apa-apa jua kursus di IPTA oleh lepasan UEC yang mempunyai SPM penuh.
Sijil UEC akhirnya diiktiraf dengan mudah sekali oleh kerajaan semasa selepas sekian lama ditangguhnya sebelum ini. Pada permulaannya, ia ditolak kerana tidak memenuhi syarat kepujian pada mata pelajaran bahasa Melayu SPM.
Setelah syarat ini dipenuhi, wujud pula syarat keperluan lulus mata pelajaran Sejarah SPM yang berjaya dipenuhi jua.
Apabila dua syarat ini sudah dipenuhi, terdapat syarat lain pula yang dikenakan untuk mengiktirafkan sijil UEC ini. Kali ini ada keperluan mendesak untuk dilakukan satu kajian holistik dan komprehensif.
Sehubungan ini, kajian itu tidak mahu pun dirujuki setelah siap. Sebaliknya ia ditolak kerana lewat diserahkan.
Sebelum diberikan pengiktirafan, wujud cadangan yang mensyaratkan sijil UEC hendaklah dipastikan kelayakannya. Untuk ini, satu ujian hendaklah dilakukan. Mungkin pengiktirafan tempoh hari adalah hasil daripada ujian kelayakan yang telah selesai dilakukan.
Natijah dalam hal pengiktirafan sijil UEC ini ialah kerajaan hendaklah tidak boleh sesekali bersikap lempar batu sembunyi tangan. Dalam hal ini, ia adalah dalam bentuk melakukan sesuatu yang merosakkan sistem pendidikan kebangsaan, tetapi berpura-pura dan berdalih tidak pun melakukannya.
Walaupun dengan bertegas ia hanya laluan yang tidak semestinya pengiktirafan, apatah lagi pengiktirafan itu sendiri dalam ertinya yang sebenar, sebetulnya tindakan kerajaan itu telah mengkhianati sistem pendidikan negara.
Pengkhianatan ini bukan sahaja menjejaskan banyak hal. Antara yang terpenting ialah jati diri yang mahu dibina untuk identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Juga pengkhianatan ini tidak terhenti setakat jati diri itu sahaja. Ia berangkai dan akan mengesani banyak perkara lain pada masa ini, selain pasti mempunyai dampak buruk pada masa mendatang.
Oleh sebab ini, ada keperluan mendesak agar dikaji semula laluan yang telah diberikan itu untuk memohon mana-mana kursus di IPTA. Memadailah sahaja dengan pengiktirafan pengkhususan dalam hanya bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru yang telah diberikan dahulu, kini diperluas ke tiga IPTA.
Ini kerana, itu sahajalah kelayakan lepasan UEC yang taasub terhadap bahasa Cina dalam sektor awam di negara ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










