Dashboard pantau krisis bekalan global boleh diakses Jumaat ini

Dashboard pantau krisis bekalan global boleh diakses Jumaat ini

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai boleh mula mengakses Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global pada Jumaat ini bagi mendapatkan perkembangan semasa dan tepat mengenai krisis yang sedang berlangsung.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, papan pemuka itu dibangunkan secara bersama oleh kementeriannya dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, papan pemuka itu bertujuan menjadi sumber rujukan berpusat yang telus dan mudah diakses oleh orang awam dalam memantau perkembangan semasa berkaitan krisis bekalan global.

“Paparan awam dashboard ini merangkumi 10 submenu utama, antaranya tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran wang asing dan aliran perdagangan.

“Insya-Allah, dashboard ini dijangka boleh diakses oleh orang awam bermula 15 Mei ini,” katanya dalam sidang media dalam talian, hari ini.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, papan khas kerajaan pula akan digunakan sebagai platform pemantauan dalaman bagi menilai perkembangan krisis, mengenal pasti risiko awal.

Selain itu, katanya, ia bagi merangka strategi dan tindakan mitigasi secara lebih tersusun berasaskan data yang hampir masa nyata.

“Ini adalah peralihan penting dalam cara kerajaan mengurus krisis. Menggunakan data hampir masa nyata untuk mengesan tekanan awal, menyelaras tindakan dan memberi maklumat yang lebih jelas kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN