ASEAN perlu kekal bersatu hadapi cabaran global

ASEAN perlu kekal bersatu hadapi cabaran global

ANWAR Ibrahim bersama pemimpin negara ASEAN semasa retreat ASEAN ke 48 di Cebu, Filipina. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN perlu kekal bersatu, tangkas dan berpandangan jauh dalam mendepani pelbagai cabaran global termasuk krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan gangguan rantaian bekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara anggota ASEAN perlu bergerak dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama bagi mempertahankan keamanan serta kemakmuran serantau.

Katanya, Malaysia turut menegaskan kepentingan memperkukuh keterhubungan serantau menerusi pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN, memperdalam perdagangan intra-ASEAN serta mempercepat kerjasama ekonomi digital.

“ASEAN juga perlu memperluas jaringan strategik dengan rakan-rakan yang diyakini selain terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian damai terhadap setiap pertikaian.

“Dalam dunia yang sedang menyaksikan pelbagai penyimpangan terhadap nilai kemanusiaan dan kestabilan sejagat, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati,” katanya dalam hantaran hari ini.

Anwar berkata, rantau ASEAN perlu tampil sebagai wahana yang mampu memperkukuh keyakinan, menjana pertumbuhan lebih adil serta memastikan masa depan lebih aman dan mampan untuk seluruh rakyat di rantau ini.

Katanya, kesepakatan yang dicapai sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 menunjukkan komitmen memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global semakin mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN