PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memperkukuh langkah mendepani krisis rantaian bekalan global bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkaitan usaha menangani krisis rantaian bekalan global.
Menurut beliau, kerajaan Madani memahami tekanan yang sedang dihadapi rakyat susulan kenaikan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.
“Atas pertimbangan tersebut, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif Budi Madani: Budi Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, bekalan ubat-ubatan negara juga masih berada pada tahap stabil dan KKM akan terus memantau sebarang cabaran melibatkan rantaian stok serta harga bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
“Apa jua cabaran yang mendatang, kerajaan Madani akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara,” katanya. – UTUSAN










