PARIS: Perancis dijangka menyaksikan satu lagi gelombang demonstrasi semalam bagi membantah kenaikan kos sara hidup serta rang undang-undang baharu yang memberi perlindungan lebih luas kepada polis dalam penggunaan senjata api.
Negara ekonomi kedua terbesar Kesatuan Eropah (EU) itu berdepan demonstrasi membantah kos sara hidup dan sekatan sekolah menengah sejak lebih sebulan lalu, menjelang pilihan raya presiden tahun depan yang dilihat parti sayap kanan sebagai peluang terbaik untuk meraih kuasa.
Walaupun kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman, beberapa perhimpunan dicemari keganasan oleh kumpulan kecil selain dakwaan tindakan kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan.
Demonstrasi pada Sabtu merupakan yang kelima berturut-turut, dengan perhimpunan utama diadakan di Paris pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan, selain puluhan demonstrasi lain di seluruh negara.
Di Paris, gerakan Vest Kuning akan menyertai pelajar sekolah menengah, kesatuan sekerja dan kumpulan aktivis yang memperjuangkan hak kanak-kanak serta membantah rang undang-undang berkaitan penggunaan senjata api oleh polis.
Rang undang-undang itu bertujuan memberikan perlindungan lebih luas kepada anggota polis ketika menggunakan senjata dalam menjalankan tugas.
“Keadaan masyarakat kini semakin membimbangkan. Kita tidak boleh memberikan tumpuan kepada satu isu sahaja berbanding isu lain,” kata Claire Bourdille, wakil sebuah pertubuhan yang memperjuangkan usaha membanteras keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja.
Sebahagian penunjuk perasaan lain pula akan membantah rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Parlimen kerana ia membolehkan anggota polis yang melepaskan tembakan dianggap bertindak untuk mempertahankan diri.- AFP











