PETALING JAYA: Situasi kehilangan pekerjaan dalam negara kembali membimbangkan apabila lebih 7,000 pekerja direkodkan hilang sumber pendapatan sepanjang April lalu, sekali gus memberi kesan langsung kepada ribuan keluarga.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, seramai 7,057 pekerja dilaporkan hilang pekerjaan pada April dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 5,855 orang pada bulan sebelumnya.
Beliau berkata, walaupun angka itu lebih rendah berbanding awal tahun iaitu Januari seramai 10,658 pekerja dan Februari (7,512 orang) tetapi perkembangan tersebut perlu diberi perhatian.
“Setiap satu angka itu adalah satu keluarga yang hilang punca pendapatan. Kerajaan akan pastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal berkata, harga barangan makanan domestik bagi minggu 18 hingga 21 Mei masih terkawal dalam julat pergerakan antara negatif 2.0 peratus hingga 3.6 peratus.
“Pergerakan harga bagi item utama seperti ayam, purata harga sekarang adalah RM9.57 sekilogram.
“Bagi daging lembu, berita baik kerana harga turun sebanyak dua peratus kepada RM38.45 sekilogram. Manakala bagi sawi, ada kenaikan ketara sebanyak 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga kawasan dan premis perniagaan yang menawarkan harga barangan yang lebih rendah.
“Oleh itu, kepada peniaga, kita minta jangan ambil kesempatan. Kerajaan akan terus membuat pemantauan dan penguatkuasaan.
“Kepada rakyat, kita minta gunakan aplikasi PriceCatcher. Bandingkan harga. Jadilah pengguna yang bijak kerana kuasa membeli ada di tangan anda.
“Maklumat ini juga boleh disemak melalui Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan yang telah dibuka untuk akses orang awam,” katanya. – UTUSAN










