PETALING JAYA: Bekalan makanan negara kekal terkawal dan stabil bagi jangka pendek meskipun dunia berdepan krisis bekalan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini bekalan beras mencukupi sehingga hujung tahun dengan kerajaan turut menambah stok penimbal kepada 300,000 tan metrik.
Katanya, bekalan ayam dan telur pula hampir 100 peratus mampu ditampung melalui pengeluaran tempatan, namun bagi makanan ternakan seperti jagung dan soya, negara masih bergantung kepada import.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan bekalan secara berlebihan, sebaliknya membeli seperti biasa.
“Usaha sedang dipergiat untuk mengurangkan kebergantungan tersebut secara berperingkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamad berkata, bagi bekalan sayur-sayuran, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menyusun jadual tanaman petani serta memperkukuh sistem ladang kontrak bagi memastikan hasil lebih terancang dan kebajikan petani terus terpelihara.
Katanya, terdapat cabaran bagi bekalan ikan ketika ini termasuk faktor cuaca panas El Nino dan peningkatan kos diesel, namun langkah memperkasa sektor akuakultur sedang dilaksanakan sebagai alternatif bagi memastikan bekalan kekal mencukupi.
“Jadi saya nak pesan, tak perlu panik, tak perlu simpan stok berlebihan. Kerajaan sentiasa peka dan sedang buat yang terbaik supaya rakyat tak terkesan.
“Insya-Allah, kita jaga sama-sama. Kita boleh hadap cabaran ini bersama,” katanya. – UTUSAN










