Polis ‘pijak’ kepala suspek ditukar ke bahagian pentadbiran

Polis ‘pijak’ kepala suspek ditukar ke bahagian pentadbiran

TANGKAP layar video tular seorang suspek dipijak anggota polis selepas berjaya ditahan di Jalan Tunku Putra, Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Anggota polis yang didakwa memijak kepala seorang individu dalam kejadian di Jalan Tunku Putra, di sini yang tular di media sosial telah ditukar ke bahagian pentadbiran, sementara menunggu siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya telah meminta JIPS untuk melakukan siasatan daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tangkapan dalam insiden itu.

Katanya, suspek yang ditangkap pula kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, lelaki berusia 32 tahun yang menunggang motosikal dipercayai menendang motosikal milik anggota polis sebelum melarikan diri dengan menunggang secara melulu, melawan arus dan  berbahaya kepada pengguna lain. 

Dia yang pada awalnya diperiksa dalam operasi Ronda Cegah Jenayah di Jalan Sungai Ular, di sini berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal dan polis turut merampas dua bungkus plastik lutsinar disyaki mengandungi air ketum.

Bagaimanapun, rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 0:29 saat memperlihat suspek ditarik daripada motosikalnya sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.

Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif Methampetamine. 

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN