PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperluaskan penggunaan sistem kad fleet kepada semua jenis jentera pertanian padi bagi memastikan pesawah menikmati harga diesel yang lebih stabil susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, penggunaan sistem berkenaan amat penting bagi membolehkan golongan pesawah memperoleh harga diesel tetap (flat rate), sekali gus melindungi mereka daripada turun naik harga minyak dunia akibat konflik global.
Katanya, tanpa kestabilan harga bahan api, keseluruhan rantaian pengeluaran padi akan terus berdepan tekanan inflasi yang tinggi dan menjejaskan kos operasi pesawah.
“Ketika ini, beberapa perkara perlu diberi perhatian termasuk memperluaskan penggunaan sistem kad fleet kepada semua jenis jentera pertanian padi.
“Penggunaan kad ini amat penting bagi memastikan pesawah menikmati harga diesel yang tetap (flat rate), sekali gus melindungi mereka daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia akibat konflik global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan menyemak semula kadar Insentif Pembajakan Padi Kebangsaan (IPKP) agar lebih selari dengan kos sebenar di lapangan.
Katanya, meskipun kerajaan sudah menaikkan kadar IPKP daripada RM160 kepada RM300 sehektar, jumlah tersebut masih belum mencerminkan kos sebenar yang ditanggung pesawah.
“Berdasarkan maklum balas pesawah, kos pembajakan bagi dua pusingan kini mencecah RM1,400 sehektar.
“Ini bermakna kadar insentif sedia ada hanya menampung kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kos,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan )KPKM) juga perlu meneliti semula kadar insentif berkenaan supaya lebih munasabah dengan kos operasi semasa.
Beliau berkata, beban pesawah bukan sahaja melibatkan kos diesel, malah turut dipengaruhi kemerosotan kualiti benih serta peningkatan serangan perosak yang memberi kesan ketara kepada hasil tuaian.
Katanya, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada pemberian subsidi tunai semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh ekosistem bekalan benih serta sokongan teknikal bagi memastikan hasil padi kekal stabil.
“Saya menyokong langkah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang mengumpul data kos pengeluaran padi.
“Namun, kementerian tidak seharusnya menunggu laporan tersebut siap sebelum mengambil tindakan.
“Pegawai tertinggi kementerian juga perlu turun padang dan bertemu pesawah di kawasan seperti Parit serta jelapang padi lain bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi,” katanya. – UTUSAN










